Pages

Saturday, August 17, 2013

CATATAN DOKTOR MEDAN RAB3AH ADAWIYYAH

Hospital Medan Rabaah


Sebagai salah seorang peserta demonstrasi yang telah biasa berkhemah di Rabaah, saya memang berada di situ sejak Rabu pagi. Seawal jam 6 pagi, arahan dikeluarkan kepada semua agar meninggalkan khemah dan berada di dataran, dan sudah ada tanda-tanda kecemasan. Sekitar jam 6.30 pagi, saya mula mengalami masalah dengan isyarat talian internet menyebabkan saya termangu-mangu, dan ketika saya tiba di belakang “Tiba Mall” jam 6.40 pagi, barulah saya menyedari serangan telah bermula dengan lontaran bertalu-talu gas pemedih mata yang dilontarkan tepat ke tengah-tengah kawasan di mana peserta demonstrasi aman duduk.


Dalam tempoh beberapa minit, saya dapat melihat mangsa pertama dilumuri darah dari luka yang parah di tangan yang kelihatannya telah melibatkan sebahagian besar otot tangan kanannya. Sebagai pakar bius dan pakar perubatan kecemasan (critical care physician), saya mengambil keputusan untuk menawarkan diri bertugas di hospital Medan Rabaah sejak awal perhimpunan diadakan, iaitu selepas Presiden Morsi digulingkan.


Hospital medan agak tersusun. Ia barangkali telah belajar daripada dua episod pembantaian lepas. Walaubagaimanapun mangsa bertali arus masuk dan dengan segera, keadaan menjadi kelam kabut. Saya tidak merasai sendiri pengalaman ketika pembantaian “Republican Guards’ atau pembantaian Al-Azhar, maka saya berasa sangat terkesan melihat betapa ramainya mereka yang mengalami kecederaan pada hari ini.

Dalam masa kurang dari 3 jam, hospital dan ruang-ruang dewan berhampiran hampir penuh dengan mayat dan mereka yang cedera. Kecederaan yang dialami adalah sama ada dari peluru tabur (birdshot) kepada peluru hidup (live bullet). Kebanyakan luka dari peluru hidup dijumpai di bahagian atas badan dengan sebahagian besarnya di kepala dan leher yang langsung mengakibatkan kematian.

Sekitar jam 10-10.30 pagi, gas pemedih mata mula dilemparkan ke arah hospital, menyebabkan udara sekitar amat melemaskan dan semua kakitangan hospital mula memakai topeng mulut. Oleh kerana saya tidak berdaftar di hospital tersebut, saya tidak mempunyai bekalan topeng. Sukar bernafas, saya tinggalkan aras pertama, aras di mana pesakit diterima, dan cuba naik ke aras kedua untuk mencari topeng tersebut di bilik bekalan.

Di aras kedua, saya terjumpa sebuah bilik di mana kaum ibu membawa anak-anak kecil mereka berlindung dari asap pemedih mata yang cukup pekat itu. Saya akhirnya hanya menjumpai topeng biasa dan bukan topeng yang dapat melindungi dari asap pemedih mata.

Saya menyambung tugas membantu mangsa-mangsa baru yang tiba di hospital, tetapi keadaan semakin teruk dengan pertambahan jumlah mangsa. Ini termasuk kes-kes yang parah, asap pemedih mata (saya mendapat tahu kemudiannya botol gas ini dilemparkan dari atas oleh helikopter). Bunyi tembakan juga semakin hampir dengan hospital.

Jam 12.00 tengahari, terdapat arahan untuk mengosongkan hospital kerana terdapat kebimbangan serangan di situ. Semua staf di arah menyorokkan tag pengenalan identiti perubatan mereka, menyorokkan kot putih atau sarung tangan bagi mengelakkan tangkapan atau soal siasat.


Arahan meninggalkan hospital


Saya meninggalkan hospital tersebut dan melintasi satu dewan yang dipenuhi mayat-mayat mangsa serangan, dan kemudiannya melalui satu dewan lain yang penuh juga dengan mereka yang tercedera yang dikategorikan sebagai kurang teruk (apabila saya maksudkan kurang teruk, ini hanyalah bermaksud mereka ada beberapa jam untuk mengharungi kecederaan tanpa pemerhatian rapi, tapi sebenarnya, dalam keadaan normal, mereka adalah pesakit yang memerlukan pembedahan segera).


Hati saya sangat tersentuh tatkala saya melihat senario wanita dan orang tua yang hanya mampu menangis di samping anak-anak atau saudara mereka yang tercedera kerana memang tidak ada siapa yang dapat menolong mereka di tengah-tengah serangan berdarah ini.


Saya berdiri di sebuah koridor di belakang hospital, yang berdekatan dengan Masjid Rabaah. Di sini juga beberapa mangsa di kalangan pemprotes berlindung setelah mereka tiada lagi tempat di hospital. Salah seorang dari mereka yang cedera (ditembak di kaki) berkata kepada saya “Dr, kenapa berdiri sebegini? Pergilah dan pindahkan atau tolong pesakit lain”. Saya berasa sangat simpati kepada anak muda ini, yang tidak pedulikan kecederaan dirinya sendiri sebaliknya memikirkan sahabat-sahabat lain di tengah-tengah serangan berdarah ini.

Saya sendiri tidak tahu hendak ke mana setelah arahan mengosongkan hospital, jadi saya terus berlindung di situ, hampir dengan masjid di mana wanita dan orang tua berada. Bunyi tembakan peluru bersambungan dan semakin dahsyat, asap terus memenuhi ruang. Selepas beberapa minit saya lihat gas pemedih mata menguasai koridor di mana saya berdiri tadi, saya teringatkan pemuda yang menegur saya tadi dan yang lain yang tercedera, adakah mereka sempat dipindahkan atau tidak? Orang ramai mengipas-ngipas ruang udara mereka dengan baju dan kain untuk cuba mengusir asap dan bau yang cukup melemaskan itu.


Hospital di Rabaah


Selepas sejam, saya berjumpa seseorang dari hospital medan tadi, dan dia memberitahu sebuah hospital dari badan kebajikan Rabaah telah dibuka untuk menerima pesakit. Saya segera ke situ dan segera bertugas kembali, saya merasakan sedikit lega kerana dapat bekerja di hospital sebenar, apatah lagi sahabat-sahabat sekerja saya berjaya mendapatkan bekalan perubatan dari hospital medan tadi. Kami mula bekerja dan saya gembira kadar mangsa baru yang datang berkurang. Saya mula terfikir yang tentera telah memberhentikan serangan mereka.

Saya mula bekerja dengan kes yang ada dengan sepenuh kemampuan saya. Ada beberapa kes yang teruk. Salah satu daripadanya adalah kes seorang wartawan asing (saya diberitahu bahawa mereka dari Sky News) telah ditembak di bahagian bawah dada, mengalami pendarahan yang banyak sehingga beliau kelihatan pucat. Saya sempat memberitahu rakan-rakan wartawan tersebut yang sahabat mereka memerlukan pembedahan segera (hanya beberapa minit kemudian, saya telah tidak dapat menemukan mereka, dan tidak tahu sama ada sahabat mereka terselamat atau tidak). Namun saya sempat berpesan kepada kumpulan wartawan ini, jika mereka boleh memberitahu dunia, untuk menyeru tentera supaya jangan mensasarkan hospital dengan serangan peluru hidup dan gas pemedih mata.


Sniper mensasarkan hospital


Dalam keadaan yang agak aman ini, saya turun ke aras bawah tanah untuk cuba merehatkan diri, tapi nasib saya, saya terjumpa dua orang yang kebetulan dari kampung halaman saya. Mereka bertuah kerana hanya cedera dengan tembakan di kaki dan di betis, dibandingkan dengan kes-kes di luar sana.

Saya kemudiannya melakukan bantuan kecemasan resusitasi (CPR) kepada seorang mangsa lain, malangnya tidak berjaya menyelamatkan beliau. Saya cuba membantu pasukan perubatan untuk memindahkan jasad beliau, tapi kami diberitahu bahawa peti penyejuk tempat simpanan mayat telah pun penuh dengan lebih 40 mayat, dan diarah membawa mayat tersebut ke tingkat 3. Saya amat terkejut melihat dewan di tingkat 3 juga penuh dengan 30-40 mayat.


Saya meletakkan jenazah ke satu bahagian di situ, dan turun ke tingkat bawah, hanya untuk kemudiannya diberitahu bahawa pintu masuk ke hospital sekarang adalah di bawah ‘ehsan’ seorang penembak tepat (sniper) yang akan menembak sesiapa sahaja yang cuba masuk ke hospital.

Satu pemandangan yang memilukan melihat orang ramai berlari membawa sama ada bekalan hospital, ataupun mangsa yang tercedera, dengan susah payah mengelakkan diri dari sniper yang juga mensasarkan tembakannya hatta kepada mereka yang cuba mengintai di balik tingkap hospital.


Tidak berapa lama kemudiaan, tembakan sniper itu mengenai kaca tingkap yang pecah berderai. Jam 3 petang, keamanan yang kami nikmati seketika hancur dengan ramai lagi mangsa dibawa ke hospital dengan kecederaan yang lebih parah daripada apa yang dilihat di sebelah pagi tadi. Saya melihat mangsa yang berkecai kepalanya dan bersepai tisu otak di atas lantai. Saya juga melihat mangsa dengan tembakan yang disasarkan tepat mengenai kepala dan leher, ditembak sniper.


Jam hanya menunjukkan jam 4 petang, apabila lantai di aras bawah tanah dan tingkat satu telah mula penuh dengan mereka yang tercedera dan terkorban. Saya tahu, di aras lain pun keadaannya serupa. Terdapat beberapa ambulan yang cuba memindahkan pesakit dari pintu belakang, tetapi dengan kecederaan parah mangsa-mangsa yang ada, saya rasa mereka hanya dapat memindahkan sekitar 5% sahaja dari keseluruhan yang memerlukan pembedahan. Keadaan semakin teruk, kami tidak dapat merawat semua kes yang baru tiba. Kami hanya memikirkan kes-kes yang mempunyai peluang cerah untuk hidup walaupun bilangannya sedikit.


Lantai dilumuri darah, dan pesakit baru terpaksa dibawa merentasi mereka yang lain yang telah ada di atas lantai. Saya bekerja seperti sebuah mesin, dan tidak percaya saya masih hidup melihat perkara ini terjadi di negara saya sendiri. Saya pernah menjadi sukarelawan di hospital lapangan di Dataran Tahrir pada tahun 2011, tetapi tiada yang dapat dibandingkan dengan pembantaian Rabaah ini. Saya sehinggakan tidak sempat mengambil gambar pesakit atau dokumen mereka kerana terlalu sibut menyelamatkan nyawa.

Bau kematian berada di mana-mana, dan baju saya basah dilumuri darah. Saya terpaksa menulis sebuah buku jika harus menceritakan semua pesakit yang saya rawati.


Polis menyerang hospital


Jam 5 petang, peluru sekali lagi menghujani pintu, dan meranapkannya sama sekali. Bunyi tembakan semakin dekat dan bingit. Setengah jam kemudian, tembakan dilepaskan ke Jabatan Kecemasan yang dipenuhi dengan pasukan perubatan dan mangsa.


Ketakutan menyelubungi hospital dan semua orang seperti terperangkap di tempat sendiri. Sepuluh minit kemudian, pegawai polis memecah masuk ke hospital. Mereka berbadan besar dan memakai pakaian khas berwarna hitam dengan senjata api besar, yang belum pernah saya lihat sebelum ini. Mereka mengarahkan semua orang meninggalkan hospital.


Perdebatan tercetus di antara kami tentang apa yang kami perlu buat dengan ratusan yang lain yang tercedera yang masih hidup di hospital, dan adakah kami dapat mempercayai polis-polis ini, namun apabila seorang polis masuk ke ruangan di mana kami berada, seorang demi seorang mula beredar.

Ketika mula beredar, saya memberitahu seorang polis, yang masih terdapat mereka yang tercedera di hospital itu. Dia menjerkah saya berkata “Biarkan mereka mati! Biarkan mereka mati!” dan berjalan ke arah saya dengan senapang yang besar itu, seakan ingin menyerang saya. Nasib baik, saya sempat lari menerusi pintu kaca yang pecah ketika dia sibuk dengan mereka yang lari ke arah berlawanan.


Polis membakar hospital


Di luar hospital, keadaanya lebih mengerikan, mayat-mayat di atas jalan, dan tembakan di sana sini. Kami berjalan di sepanjang tembok dengan tembakan demi tembakan dan saya tidak tahu jika orang di belakang saya terbunuh atau tidak. Saya berjalan terus ke jalan berhampiran, risau jika saya ditembak atau ditangkap, tapi nampaknya polis sibuk dengan saki-baki pemprotes di tempat protes tadi.

Saya toleh ke belakang dan lihat asap tebal, setelah mereka membakar hospital dalam keadaan masih ramai orang di dalam, mayat-mayat dan mereka yang tercedera yang tidak dapat meninggalkan hospital.

Sehingga saat ini, saya tidak dapat melupakan kes terakhir saya, seorang tua yang datang setelah ditembak di kepala, tetapi beliau masih hidup. Beliau ditemani oleh anak saudaranya yang berumur antara 15-16 tahun. Saya lakukan bantuan kecemasan , memasukkan tiub intubasi (intubation) dan meminta anak saudaranya mengepam udara masuk ke ruang pernafasan menggunakan pengepam (ambu-bag breathing). Dalam perjalanan keluar, saya masih terlihat riak wajah tak berdaya remaja ini memohon pertolongan dari kami untuk bapa saudaranya. Bapa saudaranya mungkin terbunuh dengan terbakarnya hospital, tapi saya tidak tahu nasib remaja ini.


Saya berjalan keluar, berfikir, adakah spesies manusia yang menyerang kami, atau bukan. Segala tembakan adalah untuk membunuh, dan segala keceraan adalah di luar imaginasi. Saya tidak mahu percaya bahawa saya telah hidup melihat penduduk Mesir terbunuh di jalan-jalan dan hospitalnya dibakar, dengan pesakit masih di dalamnya.


Jika ini berlaku kepada kita, oleh mereka yang juga kaum Mesir yang sepatutnya melindungi kita, apa akan terjadi jika kuasa asing menyerang negara kita? Saya menulis setiap baris ini dan saya masih tidak mempercayainya. Saya berharap semua ini adalah mimpi ngeri yang saya akan terjaga darinya.


Coretan ini ditulis oleh Dr Islam Abdel Rahman, doktor pakar bius (anesthetist).
Medan Rabaah.
9.44pm, 15 Ogos 2013
sumber: Layar Minda

Friday, August 16, 2013

Usaha Mursi yang Disembunyi

KHUTBAH MESIR




الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Khatib pada hari ini bersama seluruh umat Islam menyatakan rasa dukacita yang amat sangat ke atas saudara-saudara se iman yang dizalimi dan dibunuh dengan sewenang-wenangnya di bumi anbiya’ – bumi Mesir. Saat ini ketika teks khutbah ini dinukil, sudah lebih dari 2,200 rakyat Mesir termasuk wanita dan kanak-kanak yang sudah terkorban syahid. Bilangan yang tercedera sudah menjangkau lebih dari 10,000 orang. Hari ini dan saat khutbah ini disampaikan pada hari Jumaat 9 Syawal 1434H, berapakah pula bilangan umat Islam yang terkorban syahid akibat perbuatan kelompok zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Apa yang amat menyedihkan ialah umat Islam di Mesir dibunuh tanpa belas kasihan oleh tentera Mesir sendiri. Apakah jenayah mereka sehingga diperlakukan dengan begitu biadap. Bukankah tugas tentera ialah menjaga keselamatan negara dari pencerobohan musuh dan anasir luar. Dalam situasi Mesir sudah tentulah musuh utama yang paling hampir menjadi ancaman kepada keselamatannya ialah Israel. Namun apa yang berlaku sejak tarikh Presiden Morsi digulingkan, tentera nampaknya lebih berminat untuk menjamin keselamatan Israel dengan membunuh rakyatnya sendiri.

Kenapa General Abdul Fattah As sisi sanggup mengerah tentera untuk bertindak bukan sahaja di luar batas syara’ (Islam) bahkan melampaui batas kemanusiaan, apapun prinsip dan dasarnya. Tindakan kebinatangan ini meletakkan kelompok yang menyokong kudeta ke atas Presiden Morsi dan kerajaan beliau yang sah berada semakin jauh terperosok ke dalam kesalahan jenayah yang dilakukan. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Allah SWT mengingatkan kita di dalam al Quran tentang kesah Musa a.s. yang berhadapan dengan kekuasaan Firaun. Firaun telah melakukan kezaliman yang tidak terperi di bumi Mesir.

Firman Allah SWT


Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.

Firaun telah mengerahkan pasukan perisik dan bala tenteranya untuk memburu anak-anak Bani Israel dan membunuh mereka. Firaun berusaha untuk menghapuskan keturunan Bani Israel yang dibimbangi akan melenyapkan kekuasaan di atas muka bumi. 

Namun Allah SWT maha berkuasa untuk menghapuskan kezaliman Firaun dengan cara-cara yang tidak disangka sama sekali oleh manusia.




"Dan demi sesungguhnya! Kami telahpun mengurniakan kepadamu berbagai nikmat pada satu masa yang lain sebelum ini

"Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya:


"Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya; dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Allah yang akan memelihara agama Nya. Perhatikan bagaimana Musa a.s. yang diburu oleh Firaun langsung dihantar oleh Allah SWT kepada Firaun itu sendiri di dalam bakul bayi yang dihanyutkan ke hilir Sungai Nil. Pastinya Firaun yang berhasrat untuk menghapuskan kaum lelaki Bani Israel tidak akan teragak-agak untuk menghapuskan bayi lelaki yang ditemuinya. Tetapi sebaliknya bayi lelaki yang tidak berdaya itu di selamatkan oleh Allah dengan pandangan kasih seorang wanita. Isteri Firaun yang melihat bayi itu lantas jatuh hati kepadanya dan melindungi Musa a.s. dari disakiti oleh Firaun. Cuba renungkan bagaimana kelembutan seorang wanita melindungi Musa a.s. dari seorang Firaun yang amat keras hatinya yang tidak ada belas kasihan sedikitpun tersisa di hati.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Hari ini kita berkenalan dengan seorang Firaun di zaman ini dan bala tenteranya yang tidak ada sedikitpun rasa bersalah ketika mereka menala senjata dan membidik tepat untuk membunuh lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak bersenjata. Firaun yang dihantar kepada kita pada hari ini melampaui kezaliman yang dipamerkan oleh Firaun klasik di zaman Musa a.s. Apakah mereka menyangka perbuatan mereka tidak diperhatikan oleh Allah. Allah yang sama yang menyelamatkan Musa a.s dan menghantar baginda kepada Firaun adalah Allah yang sama yang sedang menyaksikan dan memantau apa yang berlaku di medan Rabaah dan di seluruh bumi Mesir. Allah yang sama yang mengazab Firaun adalah Allah yang sedang memerhatikan setiap tindak tanduk As Sissi dan bala tenteranya. Tidak ada yang terselindung dari pengetahuan Allah. Semuanya dirakamkan dengan penuh sehingga tidak ada ruang untuk berlepas diri dari setiap kezaliman yang mereka timpakan ke atas rakyat Mesir. Mereka akan diadili dengan sangat teliti dan keras.
Allah SWT berfirman.


Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh? (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing). Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu. Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka berbagai paluan azab; Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas, (terutama balasan akhirat).

Allah SWT kemudian membinasakan Firaun dan segala alat-alat kekuasaan dan kebesarannya. 



Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Rakyat Mesir yang sedang dizalimi berada di dalam kebenaran. Mereka akan dibela oleh Allah dan dimuliakan atas pengorbanan mereka. Sebahagian besar dari mereka insyaAllah dikurniakan syahid yang didambakan oleh semua manusia yang beriman dengan Allah, RasulNya dan hari kemudian.

Persoalan kini ialah bagaimana dengan sikap dan tindakan kita terhadap saudara kita di Mesir. Apakah pantas untuk kita hanya berdiam diri. Apakah kita hanya memerhati tanpa iman kita tidak terusik sedikitpun. Di manakah hendak kita letak hadis Nabi SAW. 

“Umat Islam ibarat satu tubuh, jika sebahagian tubuh merasa sakit maka seluruh tubuh akan merasakan sakitnya dan tidak bolih tidur malam”

“Barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan umat ini maka ia bukan dari kalangan mereka”

Sesungguhnya umat Islam pada hari ini sedang diuji oleh Allah SWT. Allah paparkan ulangan sejarah silam di depan mata untuk menilai mirip siapakah sikap kita? Apakah kita akan bersama dengan pendukong kebenaran dan menyatakan al Hak sebagai al Hak meskipun seluruh dunia berusaha untuk menghancurkannya. Musuh-musuh Islam pada hari ini bersatu hati untuk mempersempit perlaksanaan Islam dalam kehidupan dan sistem pemerintahan. Israel, Amerika Syarikat, Arab Saudi, negara-negara Teluk dan golongan secular-liberal dari sisa-sisa pemerintahan Mubarak berusaha untuk menamatkan pemerintahan soleh yang berdiri di atas akhlak dan prinsip Islam. Mereka tidak mahu Mesir bahkan mana-mana bumi Allah ini di tadbir oleh Islam dan pendukong-pendukongnya yang ikhlas. Namun Allah SWT akan tetap menyempurnakan agamanya.



Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

Maka kita menyeru mereka yang memegang tampuk-tampuk kekuasaan di persada Islam ambil lah pendirian yang menepati ruh al Quran dan jalan kemuliaan yang dilalui oleh para Rasul dan mereka yang mengikuti jalan-jalan itu. Bersuaralah supaya kezaliman dan kebejatan ini dihentikan. Sanggupkah kalian melihat darah saudara-saudara kamu terus dialirkan dengan begitu murah. Ambil lah apa juga langkah-langkah diplomatik, ekonomi dan gunalah semua saluran di peringkat antarabangsa untuk menghentikan kebiadapan yang menjolok mata ini. Mereka itu adalah saudara-saudara anda dan saudara kita. Sekurang-kurangnya beberapa negara bukan Islam telah bersuara dan mengutuk perbuatan zalim yang dilakukan oleh kerajaan paksaan Mesir. Mereka didorong oleh rasa kemanusiaan dan tidak sanggup menyaksikan penderitaan yangh ditanggung oleh rakyat Mesir. Kita bukan sahaja punya rasa kemanusiaan bahkan kita dipertautkan oleh iman dan takwa. Tidak kah ini hubungan yang lebih kuat bahkan hubungan yang berkekalan dari dunia sampai akhirat, yang mampu untuk bingkas bangun dan menyelamatkan saudara-saudara kita?

Ingatlah kita mencari redha Allah. Kesemua kekuasaan yang ada di atas muka bumi ini meskipun mereka punya kekayaan yang melimpah ruah seperti miripnya Firaun di zaman lalu, mereka bukan tempat pergantungan. Tiba masanya Allah akan menghapuskan kekuasaan mereka lalu mereka tidak punya apa-apa. Bahkan mereka tidak mampu mengangkat satu jari pun walaupun sekadar untuk menjentik apabila datang saat itu.

      قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاء وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاء وَتُعِزُّ مَن تَشَاء وَتُذِلُّ مَن تَشَاء بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ {26}

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Ali Imran: 26. 

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

School of Life

"The difference between school and life are in SCHOOL, you were taught a lesson, then given a test to test your IQ, but in LIFE you are given the test first that teaches you a lesson. Test in life is one of the measure's faith or belief in God for all people"