Pages

Monday, October 8, 2012

BAWAH Dagu Wanita; Aurat

Ini adalah email pertanyaan melalui http://mufti.perlis.gov.my/ dari:
Jabatan Mufti Negeri Perlis telah menerima pertanyaan hukum dari En abdullah azzam melalui e-mel.

Berikut adalah penjelasan hukum yang diberikan dan telah diperakui oleh S.S. Mufti Dr. Juanda bin Jaya.

Soalan:


Adakah dagu wanita termasuk aurat (anggota) yang dilarang memperlihatkannya.. saya ada melihat wanita yang memakai tudung dan menutup dagunya..minta penjelasan wallahua'lam

Jawapan:
Dagu wanita tidak termasuk di dalam aurat. Barangkali yang dimaksudkan oleh saudara iaitulah bahagian bawah dagu wanita.

Maka jawapannya, bahagian bawah dagu wanita adalah TERMASUK AURAT yang wajib ditutup.

 Ini kerana bahagian tersebut tidak termasuk dari batas-batas wajah yang boleh dibuka. al-Syirazi berkata: 

والوجه ما بين منابت شعر الرأس إلى الذقن ومنتهى اللحيين طولاً، ومن الأذن إلى الأذن عرضاً

Maksudnya: “Dan wajah itu apa yang ada diantara tempat tumbuh rambut kepala hingga ke dagu dan hujung kedua-dua rahang, secara panjang. Lebarnya pula dari telinga hingga ke telingan satu lagi.” 

Kata al-Nawawi di dalam al-Majmu’ ketika memberi komentar kepada perkataan al-Syirazi ini:
هذا الذي ذكره المصنف في حد الوجه هو الصواب الذي عليه الأصحاب ونص عليه الشافعي رحمه الله في الأم

Maksudnya: “Yang disebut oleh penulis (al-Syirazi) tentang batas wajah, ianya benar seperti pandangan al-Ashab, dan telah dinyatakan perkara ini oleh al-Syafie RH di dalam kitabnya al-Umm.”

Wallahu a’lam.

Shared from: Mufti Perlis

Monday, October 1, 2012

Solat; Usap Muka Selepas Salam

Salam Ustazah,

Saya ingin mendapat penjelasan tentang hukum mengusap muka selepas memberi salam ketika solat. Apakah itu sunnah Rasulullah SAW ? Saya mendapati ada orang yang melakukannya dan ada orang yang tidak melakukannya. Terima kasih.

Puan Rabiatul Adawiyyah,

Batu Pahat.


Ustazah Shahidah (Guru Sek.Islam Hidayah)
Timb. KW IKRAM Johor

Jawapan:

Assalamualaikum wbt. Benar seperti yang puan katakan bahawa di sana ada orang yang mengusap wajah dan ada yang tidak malahan ada berbagai gaya dan aksi dalam perbuatan tersebut. 

Apa yang ingin ditekankan disini bahawa semua itu bukan amalan Nabi SAW. Maka ia bukan sunnah. Pertanyaan puan akan saya jawab berdasarkan pendapat ulama yang mu’tabar yang mempunyai sandaran yang sahih dan kuat.

Berdasarkan fatwa Imam asy-Syafie rahimahullah. Beliau menentang perbuatan tersebut (menyapu muka) sebagaimana dijelaskan oleh beliau melalui hadis yang terdapat dalam kitab Al-Umm yang menjelaskan supaya tangan kita adalah tetap di atas peha ketika semasa dan selepas salam (membawa maksud tiada perbuatan menyapu muka):

عَنْ جَابِرِ بْنِ سَمْرَة قَالَ : كُنَّا مَعَ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاِذَا سَلمَ قَالَ اَحَدُنَا بِيَدِهِ عَنْ يَمِيْنِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ : السلام عليكم ، السلام عليكم . وَاَشَارَ بِيَدِهِ عَنْ يَمِيْنِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ . فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَا بَالَكُمْ تُومئونَ بِاَيْدِيَكُمْ كَاَنَّهَا اَذْنَابُ خَيْلٍ شُمْسٍ اَوْ لاَيَكْفِى اَوْ اِنَّمَا يَكْفِى اَحَدُكُمْ اَنْ يَضَعَ يَدهُ عَلَى فَخِذِهِ ثُمَّ يُسَلِّمُ عَنْ يَمِيْنِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ ، السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ الله

“Dari Jabir bin Samrah berkata: Semasa kami solat bersama Rasulullah SAW, maka ketika baginda memberi salam, berkata salah seorang dari kami dengan tangannya ke kanannya dan ke kirinya dan mengucapkan: As-salamu ‘alaikum, as-salamu ‘alaikum, dan mengisyaratkan dengan tangannya ke kanan dan ke kiri. Maka Nabi SAW bersabda:”Apa terjadi kepada kamu, mengisyaratkan dengan tangan kamu, tak ubah seperti ekor kuda yang mabuk, tidakkah memadai atau sesungguhnya memadai seseorang kamu meletakkan tangannya di atas pehanya semasa memberi salam ke kanannya dan ke kirinya seraya mengucapkan: As-salamu ‘alaikum wa-rahmatullah, as-salamu ‘alaikum wa-rahmatullah”.

 (Lihat: al-Umm. Jld. 1. Hlm. 122. Hadis ini diriwayatkan oleh Riwayat Muslim)

 

Adapun yang ditegah oleh Rasulullah SAW pada hadis di atas ialah menggerakkan tangan kanannya ke kanan ketika menoleh ke kanan dan menggerakkan tangan kirinya ke kiri ketika menoleh ke kiri. Hal ini setelah dilihat oleh baginda, kemudian baginda bertanya yang berupa larangan:

“Mengapa kamu menggerakkan tangan kamu seperti gerakan ekor kuda yang lari terbirit-birit dikejar binatang buas? Apabila seseorang antara kamu mengucapkan salam, hendaklah ia berpaling kepada temannya dan tidak perlu menggerakkan tangannya. Maka ketika mereka solat bersama Rasulullah, mereka tidak melakukannya lagi”. (Lihat: Sifat Solat Nabi. Hlm. 236)


Pada riwayat yang lain baginda bersabda yang bermaksud:

“Seseorang antara kamu cukup meletakkan tangannya di atas pahanya, kemudian ia mengucapkan salam dengan berpaling kepada saudaranya yang di sebelah kanan dan saudaranya yang di sebelah kiri”. (Hadis Riwayat Muslim, Abu ‘Awanah, Siraj, Ibnu Khuzaimah dan at-Thabrani)



Menggerakkan tangan ke kanan atau ke kiri sebagai tanda penutup atau selesainya solat telah ditegah oleh Rasulullah s.a.w. sendiri. Maka menyapu tengkuk, kepala dan kemudian muka di setiap kali selesai memberi salam adalah juga merupakan sebagai tanda, isyarat atau sebagai penutup solat. Melakukan pekerjaan tersebut adalah bid’ah kerana menyerupai perbuatan mereka (yang menggerakkan tangannya ke kanan dan ke kiri) yang ditegah oleh Rasulullah SAW, malah tidak ada hujjah yang sahih mengizinkan perbuatan tersebut. Perbuatan serupa itu adalah bertentangan dengan sunnah Rasulullah dan para sahabat. Maka ia hendaklah ditinggalkan. Jelas, ianya tiada ditunjukkan contohnya oleh Rasulullah.



Al-Mawarzi di dalam kitab al-Witr (hal. 236) berkata, “Ahmad bin Hanbal (imam Ahmad (w. 248H)) menyatakan, dari Abu Dawud, “Aku pernah mendengar bahawa Ahmad ditanya tentang seseorang mengusap mukanya dengan kedua tangan jika telah selesai solat witir, ia berkata, “Aku belum pernah mendengar sedikit pun berkenaan dengan hal itu, sedangkan aku menyaksikan bahawa Ahmad tidak melakukan hal itu (mengusap muka selepas solat).”

 
Terdapat riwayat dalam Sahih Bukhari dimana Abu Said al Khudri berkata(maksudnya): 

Aku melihat Rasulullah sujud di atas air dan tanah, sehingga dapat dilihat kesan debu dan tanah di dahinya”(Riwayat Bukhari).


Difahami dari hadis ini bahawa Nabi SAW tidak mengusap dahi atau muka baginda meskipun terdapat kesan tanah dan air. Dan jika terdapat baginda menyapu wajahnya selepas itu, maka diihtimalkan(diandaikan) oleh para ulama’ adalah kerana membuang kesan tanah dan air sahaja, bukan kerana itu perbuatan yang berkaitan solat. Bahkan itu merupakan perbuatan semulajadi kerana membersihkan diri dari kotoran.


Namun terdapat juga riwayat-riwayat yang dhaif yang menjadi pendapat imam-imam dalam mazhab Syafie, namun ianya telah ditolak oleh imam-imam lain dengan hadis-hadis di atas.


Jelaslah kepada kita bahawa Rasulullah SAW tidak menyapu muka atau dahi atau hidungnya selepas selesai memberi salam, maka tidak ada sebab untuk kita menambah-nambah perbuatan yang sama-sekali tidak dicontohkan oleh Nabi SAW. Saya menyarankan kita meninggalkan amalan bukan sunnah itu kerana berpegang kepada satu prinsip bahawa segala ibadah yang dilakukan hanya memperoleh pahala jika ianya bertepatan dengan sunnah, manakala yang sebaliknya adalah dianggap sebagai adat sahaja dan tidak membuahkan apa-apa pahala buat kita, malahan dianggap bid’ah oleh sesetengah ulama’.


WALLAHU ‘A’LAM

School of Life

"The difference between school and life are in SCHOOL, you were taught a lesson, then given a test to test your IQ, but in LIFE you are given the test first that teaches you a lesson. Test in life is one of the measure's faith or belief in God for all people"