CATATAN DOKTOR MEDAN RAB3AH ADAWIYYAH
Hospital Medan Rabaah
Sebagai salah seorang peserta demonstrasi yang telah biasa berkhemah di
Rabaah, saya memang berada di situ sejak Rabu pagi. Seawal jam 6 pagi,
arahan dikeluarkan kepada semua agar meninggalkan khemah dan berada di
dataran, dan sudah ada tanda-tanda kecemasan. Sekitar jam 6.30 pagi,
saya mula mengalami masalah dengan isyarat talian internet menyebabkan
saya termangu-mangu, dan ketika saya tiba di belakang “Tiba Mall” jam
6.40 pagi, barulah saya menyedari serangan telah bermula dengan lontaran
bertalu-talu gas pemedih mata yang dilontarkan tepat ke tengah-tengah
kawasan di mana peserta demonstrasi aman duduk.
Dalam tempoh
beberapa minit, saya dapat melihat mangsa pertama dilumuri darah dari
luka yang parah di tangan yang kelihatannya telah melibatkan sebahagian
besar otot tangan kanannya. Sebagai pakar bius dan pakar perubatan
kecemasan (critical care physician), saya mengambil keputusan untuk
menawarkan diri bertugas di hospital Medan Rabaah sejak awal perhimpunan
diadakan, iaitu selepas Presiden Morsi digulingkan.
Hospital
medan agak tersusun. Ia barangkali telah belajar daripada dua episod
pembantaian lepas. Walaubagaimanapun mangsa bertali arus masuk dan
dengan segera, keadaan menjadi kelam kabut. Saya tidak merasai sendiri
pengalaman ketika pembantaian “Republican Guards’ atau pembantaian
Al-Azhar, maka saya berasa sangat terkesan melihat betapa ramainya
mereka yang mengalami kecederaan pada hari ini.
Dalam masa
kurang dari 3 jam, hospital dan ruang-ruang dewan berhampiran hampir
penuh dengan mayat dan mereka yang cedera. Kecederaan yang dialami
adalah sama ada dari peluru tabur (birdshot) kepada peluru hidup (live
bullet). Kebanyakan luka dari peluru hidup dijumpai di bahagian atas
badan dengan sebahagian besarnya di kepala dan leher yang langsung
mengakibatkan kematian.
Sekitar jam 10-10.30 pagi, gas pemedih
mata mula dilemparkan ke arah hospital, menyebabkan udara sekitar amat
melemaskan dan semua kakitangan hospital mula memakai topeng mulut. Oleh
kerana saya tidak berdaftar di hospital tersebut, saya tidak mempunyai
bekalan topeng. Sukar bernafas, saya tinggalkan aras pertama, aras di
mana pesakit diterima, dan cuba naik ke aras kedua untuk mencari topeng
tersebut di bilik bekalan.
Di aras kedua, saya terjumpa sebuah
bilik di mana kaum ibu membawa anak-anak kecil mereka berlindung dari
asap pemedih mata yang cukup pekat itu. Saya akhirnya hanya menjumpai
topeng biasa dan bukan topeng yang dapat melindungi dari asap pemedih
mata.
Saya menyambung tugas membantu mangsa-mangsa baru yang
tiba di hospital, tetapi keadaan semakin teruk dengan pertambahan jumlah
mangsa. Ini termasuk kes-kes yang parah, asap pemedih mata (saya
mendapat tahu kemudiannya botol gas ini dilemparkan dari atas oleh
helikopter). Bunyi tembakan juga semakin hampir dengan hospital.
Jam 12.00 tengahari, terdapat arahan untuk mengosongkan hospital kerana
terdapat kebimbangan serangan di situ. Semua staf di arah menyorokkan
tag pengenalan identiti perubatan mereka, menyorokkan kot putih atau
sarung tangan bagi mengelakkan tangkapan atau soal siasat.
Arahan meninggalkan hospital
Saya meninggalkan hospital tersebut dan melintasi satu dewan yang
dipenuhi mayat-mayat mangsa serangan, dan kemudiannya melalui satu dewan
lain yang penuh juga dengan mereka yang tercedera yang dikategorikan
sebagai kurang teruk (apabila saya maksudkan kurang teruk, ini hanyalah
bermaksud mereka ada beberapa jam untuk mengharungi kecederaan tanpa
pemerhatian rapi, tapi sebenarnya, dalam keadaan normal, mereka adalah
pesakit yang memerlukan pembedahan segera).
Hati saya sangat
tersentuh tatkala saya melihat senario wanita dan orang tua yang hanya
mampu menangis di samping anak-anak atau saudara mereka yang tercedera
kerana memang tidak ada siapa yang dapat menolong mereka di
tengah-tengah serangan berdarah ini.
Saya berdiri di sebuah
koridor di belakang hospital, yang berdekatan dengan Masjid Rabaah. Di
sini juga beberapa mangsa di kalangan pemprotes berlindung setelah
mereka tiada lagi tempat di hospital. Salah seorang dari mereka yang
cedera (ditembak di kaki) berkata kepada saya “Dr, kenapa berdiri
sebegini? Pergilah dan pindahkan atau tolong pesakit lain”. Saya berasa
sangat simpati kepada anak muda ini, yang tidak pedulikan kecederaan
dirinya sendiri sebaliknya memikirkan sahabat-sahabat lain di
tengah-tengah serangan berdarah ini.
Saya sendiri tidak tahu
hendak ke mana setelah arahan mengosongkan hospital, jadi saya terus
berlindung di situ, hampir dengan masjid di mana wanita dan orang tua
berada. Bunyi tembakan peluru bersambungan dan semakin dahsyat, asap
terus memenuhi ruang. Selepas beberapa minit saya lihat gas pemedih mata
menguasai koridor di mana saya berdiri tadi, saya teringatkan pemuda
yang menegur saya tadi dan yang lain yang tercedera, adakah mereka
sempat dipindahkan atau tidak? Orang ramai mengipas-ngipas ruang udara
mereka dengan baju dan kain untuk cuba mengusir asap dan bau yang cukup
melemaskan itu.
Hospital di Rabaah
Selepas sejam, saya
berjumpa seseorang dari hospital medan tadi, dan dia memberitahu sebuah
hospital dari badan kebajikan Rabaah telah dibuka untuk menerima
pesakit. Saya segera ke situ dan segera bertugas kembali, saya merasakan
sedikit lega kerana dapat bekerja di hospital sebenar, apatah lagi
sahabat-sahabat sekerja saya berjaya mendapatkan bekalan perubatan dari
hospital medan tadi. Kami mula bekerja dan saya gembira kadar mangsa
baru yang datang berkurang. Saya mula terfikir yang tentera telah
memberhentikan serangan mereka.
Saya
mula bekerja dengan kes yang ada dengan sepenuh kemampuan saya. Ada
beberapa kes yang teruk. Salah satu daripadanya adalah kes seorang
wartawan asing (saya diberitahu bahawa mereka dari Sky News) telah
ditembak di bahagian bawah dada, mengalami pendarahan yang banyak
sehingga beliau kelihatan pucat. Saya sempat memberitahu rakan-rakan
wartawan tersebut yang sahabat mereka memerlukan pembedahan segera
(hanya beberapa minit kemudian, saya telah tidak dapat menemukan mereka,
dan tidak tahu sama ada sahabat mereka terselamat atau tidak). Namun
saya sempat berpesan kepada kumpulan wartawan ini, jika mereka boleh
memberitahu dunia, untuk menyeru tentera supaya jangan mensasarkan
hospital dengan serangan peluru hidup dan gas pemedih mata.
Sniper mensasarkan hospital
Dalam keadaan yang agak aman ini, saya turun ke aras bawah tanah untuk
cuba merehatkan diri, tapi nasib saya, saya terjumpa dua orang yang
kebetulan dari kampung halaman saya. Mereka bertuah kerana hanya cedera
dengan tembakan di kaki dan di betis, dibandingkan dengan kes-kes di
luar sana.
Saya kemudiannya melakukan bantuan kecemasan
resusitasi (CPR) kepada seorang mangsa lain, malangnya tidak berjaya
menyelamatkan beliau. Saya cuba membantu pasukan perubatan untuk
memindahkan jasad beliau, tapi kami diberitahu bahawa peti penyejuk
tempat simpanan mayat telah pun penuh dengan lebih 40 mayat, dan diarah
membawa mayat tersebut ke tingkat 3. Saya amat terkejut melihat dewan di
tingkat 3 juga penuh dengan 30-40 mayat.
Saya meletakkan
jenazah ke satu bahagian di situ, dan turun ke tingkat bawah, hanya
untuk kemudiannya diberitahu bahawa pintu masuk ke hospital sekarang
adalah di bawah ‘ehsan’ seorang penembak tepat (sniper) yang akan
menembak sesiapa sahaja yang cuba masuk ke hospital.
Satu
pemandangan yang memilukan melihat orang ramai berlari membawa sama ada
bekalan hospital, ataupun mangsa yang tercedera, dengan susah payah
mengelakkan diri dari sniper yang juga mensasarkan tembakannya hatta
kepada mereka yang cuba mengintai di balik tingkap hospital.
Tidak berapa lama kemudiaan, tembakan sniper itu mengenai kaca tingkap
yang pecah berderai. Jam 3 petang, keamanan yang kami nikmati seketika
hancur dengan ramai lagi mangsa dibawa ke hospital dengan kecederaan
yang lebih parah daripada apa yang dilihat di sebelah pagi tadi. Saya
melihat mangsa yang berkecai kepalanya dan bersepai tisu otak di atas
lantai. Saya juga melihat mangsa dengan tembakan yang disasarkan tepat
mengenai kepala dan leher, ditembak sniper.
Jam hanya
menunjukkan jam 4 petang, apabila lantai di aras bawah tanah dan tingkat
satu telah mula penuh dengan mereka yang tercedera dan terkorban. Saya
tahu, di aras lain pun keadaannya serupa. Terdapat beberapa ambulan yang
cuba memindahkan pesakit dari pintu belakang, tetapi dengan kecederaan
parah mangsa-mangsa yang ada, saya rasa mereka hanya dapat memindahkan
sekitar 5% sahaja dari keseluruhan yang memerlukan pembedahan. Keadaan
semakin teruk, kami tidak dapat merawat semua kes yang baru tiba. Kami
hanya memikirkan kes-kes yang mempunyai peluang cerah untuk hidup
walaupun bilangannya sedikit.
Lantai dilumuri darah, dan
pesakit baru terpaksa dibawa merentasi mereka yang lain yang telah ada
di atas lantai. Saya bekerja seperti sebuah mesin, dan tidak percaya
saya masih hidup melihat perkara ini terjadi di negara saya sendiri.
Saya pernah menjadi sukarelawan di hospital lapangan di Dataran Tahrir
pada tahun 2011, tetapi tiada yang dapat dibandingkan dengan pembantaian
Rabaah ini. Saya sehinggakan tidak sempat mengambil gambar pesakit atau
dokumen mereka kerana terlalu sibut menyelamatkan nyawa.
Bau
kematian berada di mana-mana, dan baju saya basah dilumuri darah. Saya
terpaksa menulis sebuah buku jika harus menceritakan semua pesakit yang
saya rawati.
Polis menyerang hospital
Jam 5 petang,
peluru sekali lagi menghujani pintu, dan meranapkannya sama sekali.
Bunyi tembakan semakin dekat dan bingit. Setengah jam kemudian, tembakan
dilepaskan ke Jabatan Kecemasan yang dipenuhi dengan pasukan perubatan
dan mangsa.
Ketakutan menyelubungi hospital dan semua orang
seperti terperangkap di tempat sendiri. Sepuluh minit kemudian, pegawai
polis memecah masuk ke hospital. Mereka berbadan besar dan memakai
pakaian khas berwarna hitam dengan senjata api besar, yang belum pernah
saya lihat sebelum ini. Mereka mengarahkan semua orang meninggalkan
hospital.
Perdebatan tercetus di antara kami tentang apa yang
kami perlu buat dengan ratusan yang lain yang tercedera yang masih hidup
di hospital, dan adakah kami dapat mempercayai polis-polis ini, namun
apabila seorang polis masuk ke ruangan di mana kami berada, seorang demi
seorang mula beredar.
Ketika mula beredar, saya memberitahu
seorang polis, yang masih terdapat mereka yang tercedera di hospital
itu. Dia menjerkah saya berkata “Biarkan mereka mati! Biarkan mereka
mati!” dan berjalan ke arah saya dengan senapang yang besar itu, seakan
ingin menyerang saya. Nasib baik, saya sempat lari menerusi pintu kaca
yang pecah ketika dia sibuk dengan mereka yang lari ke arah berlawanan.
Polis membakar hospital
Di luar hospital, keadaanya lebih mengerikan, mayat-mayat di atas
jalan, dan tembakan di sana sini. Kami berjalan di sepanjang tembok
dengan tembakan demi tembakan dan saya tidak tahu jika orang di belakang
saya terbunuh atau tidak. Saya berjalan terus ke jalan berhampiran,
risau jika saya ditembak atau ditangkap, tapi nampaknya polis sibuk
dengan saki-baki pemprotes di tempat protes tadi.
Saya toleh ke
belakang dan lihat asap tebal, setelah mereka membakar hospital dalam
keadaan masih ramai orang di dalam, mayat-mayat dan mereka yang
tercedera yang tidak dapat meninggalkan hospital.
Sehingga saat
ini, saya tidak dapat melupakan kes terakhir saya, seorang tua yang
datang setelah ditembak di kepala, tetapi beliau masih hidup. Beliau
ditemani oleh anak saudaranya yang berumur antara 15-16 tahun. Saya
lakukan bantuan kecemasan , memasukkan tiub intubasi (intubation) dan
meminta anak saudaranya mengepam udara masuk ke ruang pernafasan
menggunakan pengepam (ambu-bag breathing). Dalam perjalanan keluar, saya
masih terlihat riak wajah tak berdaya remaja ini memohon pertolongan
dari kami untuk bapa saudaranya. Bapa saudaranya mungkin terbunuh dengan
terbakarnya hospital, tapi saya tidak tahu nasib remaja ini.
Saya berjalan keluar, berfikir, adakah spesies manusia yang menyerang
kami, atau bukan. Segala tembakan adalah untuk membunuh, dan segala
keceraan adalah di luar imaginasi. Saya tidak mahu percaya bahawa saya
telah hidup melihat penduduk Mesir terbunuh di jalan-jalan dan
hospitalnya dibakar, dengan pesakit masih di dalamnya.
Jika ini
berlaku kepada kita, oleh mereka yang juga kaum Mesir yang sepatutnya
melindungi kita, apa akan terjadi jika kuasa asing menyerang negara
kita? Saya menulis setiap baris ini dan saya masih tidak mempercayainya.
Saya berharap semua ini adalah mimpi ngeri yang saya akan terjaga
darinya.
Coretan ini ditulis oleh Dr Islam Abdel Rahman, doktor pakar bius (anesthetist).
Medan Rabaah.
9.44pm, 15 Ogos 2013
School of Life
"The difference between school and life are in SCHOOL, you were taught a lesson, then given a test to test your IQ, but in LIFE you are given the test first that teaches you a lesson. Test in life is one of the measure's faith or belief in God for all people"
No comments:
Post a Comment