Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my
2010/03/02
PETALING JAYA: Bapa kepada Angkasawan Negara Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Abd Shukor, 74, mendakwa anaknya Sheikh Mustaffa Shukor Al-Masrie ada melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya dan sudah menjalani prosiding perbicaraan, lima bulan sebelum kematiannya.
Oleh itu, beliau memfailkan semula kes pengesahan lafaz cerai itu di Mahkamah Rendah Syariah di sini kerana sebelum itu mahkamah berkenaan tidak sempat membuat pengesahan terhadap talak yang didakwa dilafazkan Sheikh Mustaffa Shukor Al-Masrie terhadap Haryati Mohd Redza, 32.
Lafaz talak berbunyi ‘Aku ceraikan awak dengan satu talak’ itu didakwa berlaku pada 20 Mei 2007 dan permohonan itu difailkan oleh Allahyarham pada 21 Mei 2007 dan mula memberi keterangan pada 30 Julai 2007.
Bagaimanapun Allahyarham Sheikh Mustaffa Shukor Al-Masrie yang bekerja sebagai jurutera awam meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 27 Oktober 2007 selepas koma seminggu akibat kecederaan di kepala kerana terhantuk tiang di sebuah restoran di Jalan Klang Lama.
Sheikh Mustapha melalui peguam syarie, Zulqarnain Lukman memfailkan permohonan bagi pengesahan lafaz talak arwah itu pada 25 Januari lalu dan Haryati memohon diberi masa dengan mendakwa baru menerimanya pada Jumaat lalu.
Hakim Syarie Ghazali Ahmad menetapkan 14 April ini untuk sebutan semula dan bagi membolehkan Haryati melantik peguam.
Sementara itu dalam prosiding semalam, Haryati yang diwakili peguam bela Suriati Ab Ghani mendakwa wang nafkah RM400 sebulan bagi dua anaknya Sheikh Aiman Shukor Al-Masrie, 4, dan Siti Balkish Aisha Al-Masrie, 2, tidak mencukupi.
Menurutnya, bagi anak pertama dia memerlukan RM650 sebulan manakala bagi anak kedua sebanyak RM540 sebulan merangkumi yuran tadika, pembantu rumah, makan minum, pakaian dan pengangkutan.
“Adik-beradik arwah datang memberi sumbangan contohnya pakaian, permainan dan bawa bercuti ke luar negara serta dijanjikan berhubung royalti. Keluarga mentua juga ada ambil anak setiap dua minggu sekali dan banyak kali yang mereka minta, saya bagi.
“RM400 diberi selepas hak lawatan dan nafkah sementara diberikan kepada saya. Terus terang saya katakan ia tidak cukup. Apabila kurang, saya akan tampung sendiri. Defendan bagaimanapun tak setuju,” katanya.
No comments:
Post a Comment