Salam Ustazah,
Saya
ingin mendapat penjelasan tentang hukum mengusap muka selepas memberi
salam ketika solat. Apakah itu sunnah Rasulullah SAW ? Saya mendapati
ada orang yang melakukannya dan ada orang yang tidak melakukannya.
Terima kasih.
Puan Rabiatul Adawiyyah,
Batu Pahat.
Ustazah Shahidah (Guru Sek.Islam Hidayah)
Timb. KW IKRAM Johor
Jawapan:
Assalamualaikum
wbt. Benar seperti yang puan katakan bahawa di sana ada orang yang
mengusap wajah dan ada yang tidak malahan ada berbagai gaya dan aksi
dalam perbuatan tersebut.
Apa
yang ingin ditekankan disini bahawa semua itu bukan amalan Nabi SAW.
Maka ia bukan sunnah. Pertanyaan puan akan saya jawab berdasarkan
pendapat ulama yang mu’tabar yang mempunyai sandaran yang sahih dan
kuat.
Berdasarkan
fatwa Imam asy-Syafie rahimahullah. Beliau menentang perbuatan tersebut
(menyapu muka) sebagaimana dijelaskan oleh beliau melalui hadis yang
terdapat dalam kitab Al-Umm yang menjelaskan supaya tangan kita adalah
tetap di atas peha ketika semasa dan selepas salam (membawa maksud tiada
perbuatan menyapu muka):
عَنْ
جَابِرِ بْنِ سَمْرَة قَالَ : كُنَّا مَعَ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاِذَا سَلمَ قَالَ اَحَدُنَا بِيَدِهِ عَنْ
يَمِيْنِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ : السلام عليكم ، السلام عليكم . وَاَشَارَ
بِيَدِهِ عَنْ يَمِيْنِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ . فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَا بَالَكُمْ تُومئونَ بِاَيْدِيَكُمْ
كَاَنَّهَا اَذْنَابُ خَيْلٍ شُمْسٍ اَوْ لاَيَكْفِى اَوْ اِنَّمَا يَكْفِى اَحَدُكُمْ اَنْ يَضَعَ يَدهُ عَلَى فَخِذِهِ ثُمَّ يُسَلِّمُ عَنْ يَمِيْنِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ ، السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ الله
“Dari Jabir bin Samrah berkata: Semasa kami solat bersama Rasulullah
SAW, maka ketika baginda memberi salam, berkata salah seorang dari kami
dengan tangannya ke kanannya dan ke kirinya dan mengucapkan: As-salamu
‘alaikum, as-salamu ‘alaikum, dan mengisyaratkan dengan tangannya ke
kanan dan ke kiri. Maka Nabi SAW bersabda:”Apa terjadi kepada kamu,
mengisyaratkan dengan tangan kamu, tak ubah seperti ekor kuda yang
mabuk, tidakkah memadai atau sesungguhnya memadai seseorang kamu
meletakkan tangannya di atas pehanya semasa memberi salam ke kanannya
dan ke kirinya seraya mengucapkan: As-salamu ‘alaikum wa-rahmatullah,
as-salamu ‘alaikum wa-rahmatullah”.
(Lihat: al-Umm. Jld. 1. Hlm. 122.
Hadis ini diriwayatkan oleh Riwayat Muslim)
Adapun yang ditegah oleh Rasulullah SAW pada hadis di atas ialah
menggerakkan tangan kanannya ke kanan ketika menoleh ke kanan dan
menggerakkan tangan kirinya ke kiri ketika menoleh ke kiri. Hal ini
setelah dilihat oleh baginda, kemudian baginda bertanya yang berupa
larangan:
“Mengapa kamu menggerakkan tangan kamu seperti gerakan
ekor kuda yang lari terbirit-birit dikejar binatang buas? Apabila
seseorang antara kamu mengucapkan salam, hendaklah ia berpaling kepada
temannya dan tidak perlu menggerakkan tangannya. Maka ketika mereka
solat bersama Rasulullah, mereka tidak melakukannya lagi”. (Lihat: Sifat
Solat Nabi. Hlm. 236)
Pada riwayat yang lain baginda bersabda yang bermaksud:
“Seseorang antara kamu cukup meletakkan tangannya di atas pahanya,
kemudian ia mengucapkan salam dengan berpaling kepada saudaranya yang di
sebelah kanan dan saudaranya yang di sebelah kiri”. (Hadis Riwayat
Muslim, Abu ‘Awanah, Siraj, Ibnu Khuzaimah dan at-Thabrani)
Menggerakkan tangan ke kanan atau ke kiri sebagai tanda penutup atau
selesainya solat telah ditegah oleh Rasulullah s.a.w. sendiri. Maka
menyapu tengkuk, kepala dan kemudian muka di setiap kali selesai memberi
salam adalah juga merupakan sebagai tanda, isyarat atau sebagai penutup
solat. Melakukan pekerjaan tersebut adalah bid’ah kerana menyerupai
perbuatan mereka (yang menggerakkan tangannya ke kanan dan ke kiri) yang
ditegah oleh Rasulullah SAW, malah tidak ada hujjah yang sahih
mengizinkan perbuatan tersebut. Perbuatan serupa itu adalah bertentangan
dengan sunnah Rasulullah dan para sahabat. Maka ia hendaklah
ditinggalkan. Jelas, ianya tiada ditunjukkan contohnya oleh Rasulullah.
Al-Mawarzi di dalam kitab al-Witr (hal. 236) berkata, “Ahmad bin Hanbal
(imam Ahmad (w. 248H)) menyatakan, dari Abu Dawud, “Aku pernah
mendengar bahawa Ahmad ditanya tentang seseorang mengusap mukanya dengan
kedua tangan jika telah selesai solat witir, ia berkata, “Aku belum
pernah mendengar sedikit pun berkenaan dengan hal itu, sedangkan aku
menyaksikan bahawa Ahmad tidak melakukan hal itu (mengusap muka selepas
solat).”
Terdapat riwayat dalam Sahih Bukhari dimana Abu Said al Khudri
berkata(maksudnya):
”Aku melihat Rasulullah sujud di atas air dan tanah,
sehingga dapat dilihat kesan debu dan tanah di dahinya”(Riwayat
Bukhari).
Difahami
dari hadis ini bahawa Nabi SAW tidak mengusap dahi atau muka baginda
meskipun terdapat kesan tanah dan air. Dan jika terdapat baginda menyapu
wajahnya selepas itu, maka diihtimalkan(diandaikan) oleh para ulama’
adalah kerana membuang kesan tanah dan air sahaja, bukan kerana itu
perbuatan yang berkaitan solat. Bahkan itu merupakan perbuatan
semulajadi kerana membersihkan diri dari kotoran.
Namun
terdapat juga riwayat-riwayat yang dhaif yang menjadi pendapat
imam-imam dalam mazhab Syafie, namun ianya telah ditolak oleh imam-imam
lain dengan hadis-hadis di atas.
Jelaslah
kepada kita bahawa Rasulullah SAW tidak menyapu muka atau dahi atau
hidungnya selepas selesai memberi salam, maka tidak ada sebab untuk kita
menambah-nambah perbuatan yang sama-sekali tidak dicontohkan oleh Nabi
SAW. Saya menyarankan kita meninggalkan amalan bukan sunnah itu kerana
berpegang kepada satu prinsip bahawa segala ibadah yang dilakukan hanya
memperoleh pahala jika ianya bertepatan dengan sunnah, manakala yang
sebaliknya adalah dianggap sebagai adat sahaja dan tidak membuahkan
apa-apa pahala buat kita, malahan dianggap bid’ah oleh sesetengah
ulama’.
WALLAHU ‘A’LAM