Tuesday, May 26, 2009
mogok lapo..
Utusan melaporkan, bekas Mufti Johor Noh Gadut, mogok lapar bercanggah dengan al- Quran, sunnah, ijmak ulama, qias dan sumber perundangan Islam yang lain.
Sebelum itu Mufti Perak dilaporkan mengatakan haram bagi umat Islam melakukan mogok lapar.
Setelah meneliti beberapa sumber berita PR, kita mendapati bahawa mogok lapar yang dilancarkan adalah 'mogok lapar' yang terkawal. Manakala umat Islam akan turut sama dengan melakukan puasa sunat.
Ustaz Ahmad Awang berkata, sebelum PAS Perak membuat keputusan untuk turut serta, mereka sudah mendapat kepastian dari pihak penganjur bahawa 'mogok lapar' yang dilancar tidak sampai menyiksa diri, tambahan pula mereka ada menyediakan doktor yang akan memantau keadaan.
Tambahnya lagi, "jangan kita terperangkap dengan mainan media, kita orang Islam, sudah tentu kita faham beza antara mogok lapar dengan berpuasa sunat."
Persoalan yang perlu kita tinggalkan kepada para panel feqh kita untuk mereka jawab ialah:
1. Mogok lapar diharamkan sebagaimana yang dijelaskan oleh para mufti kerana ia memudaratkan. Bagaimana jika mogok lapar dilakukan memang diyakini tidak sampai peringkat memudaratkan? Apa pula hukumnya?
2. Apakah boleh atau dibenarkan melakukan puasa sunat seperti yang dilakukan oleh PR Perak? Iaitu berpuasa sunat dan dalam waktu yang sama tujuan berpuasa di samping kerana Allah juga kerana membantah apa yang mereka mahu bantah.
Mogok lapar di Perak - Ustaz Ahmad Awang beri penjelasan
KUALA LUMPUR, 25 Mei (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang menegaskan keputusan Badan Perhubungan PAS Perak untuk menganjurkan puasa sunat dan munajat sewaktu berhadapan dengan kemelut politik di negeri Perak adalah selaras dengan Islam.
Dalam kenyataannya sebentar tadi, Ustaz Ahmad berkata, hikmah berpuasa juga bertepatan dengan sunnah apabila umat Islam digalakkan berpuasa sunat tiga hari setiap awal bulan hijrah iaitu 1 Jamadil Akhir (esok).
Katanya, keputusan PAS selaras dengan hasrat parti-parti komponen Pakatan Rakyat yang mahu menganjurkan mogok lapar tiga hari mulai esok sebagai membantah kezaliman Barisan Nasional terhadap rakyat di negeri itu.
"Saya sudah bertanya kepada rakan-rakan bukan Islam daripada DAP dan KeADILan, mereka mengatakan mogok lapar yang dianjurkan tidak dibuat sehingga menyeksa diri.
"Lagi pun mereka menyediakan khidmat doktor yang akan sentiasa memantau keadaan," katanya.
Sekaligus Ustaz Ahmad menolak kenyataan Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria yang mengatakan umat Islam haram melakukan mogok lapar.
"Jangan kita terperangkap dengan mainan media, kita orang Islam, sudah tentu kita faham beza antara mogok lapar dengan berpuasa sunat.
"Oleh itu kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasaruddin Hassan dalam sebuah akhbar harian hari ini yang menolak mogok lapar, saya fikir tidak sesuai," tegasnya.
Ustaz Ahmad memberitahu, beliau sudah mengarahkan PAS Kawasan-kawasan seluruh Perak untuk menganjurkan puasa sunat dan pada Khamis (hari ketiga berpuasa) malamnya diadakan solat hajat dan munajat.
Tegasnya, matlamat utama berpuasa sunat dan munajat diadakan ialah untuk memohon kepada Allah agar digerakkan hati pihak yang berkuasa bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri.
"Kita tidak mahu terlalu hampa dengan kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan, kita masih ada peluang di Mahkamah Persekutuan, apa yang kita mahu, sebagai orang Islam, kita mesti sentiasa dekat kepada Allah dan memohon pertolongan dari-Nya," tegas beliau.
Sehubungan itu beliau mempelawa umat Islam yang berpuasa di Perak untuk menyertai majlis berbuka puasa yang akan diadakan di Pejabat Badan Perhubungan PAS Perak selama tiga hari berturut-turut mulai esok. - mks.
~satu2 ibadah tu dinilai dri segi syariahnya (jln perlaksanaan) n niat. jika baik kedua2nya maka baiklah amalan tu~
Thursday, May 21, 2009
susahkah jadi wanita muslimah?
Wanita auratnya lebih susah dijaga dibanding kaum lelaki.Kesaksian wanita separuh kesaksian lelaki.
Wanita harus taat suami, tapi suami tidak harus taat pada isteri, talak pun terletak di tangan suami.
Untuk keluar rumah seorang wanita perlu izin suaminya, tapi tidak untuk sebaliknya.
Wanita dibebani tugas mengandung dan melahirkan anak.
Kaum wanita berkurang hak beribadahnya karena mengalami haid dan nifas, tidak untuk lelaki.
Suara-suara mereka seolah-olah tidak mempercayai bahawa islamlah yang memuliakan mereka. Dengan pelbagai slogan seperti “BEBASKAN WANITA” seakan-akan merekalah hak perjuangan wanita. Mereka seperti lupa, siapakah yang menciptakan mereka ?
Benarkah alasan-alasan mereka membela hak kaum hawa itu benar ? Mereka seperti melawan ayat yang mulia dari Allah s.w.t. Disini saya akan kemukakan beberapa perkara bahawa islamlah yang memuliakan dan mengangkat mereka lebih daripada kaum lelaki:
Benda yang indah dan mahal harganya bukankah akan selalu dijaga dan disimpan di tempat yang selamat seperti emas atau intan permata.Manusia menyimpan wangnya di dalam dompet kerana ada nilai pada kertas tersebut. Begitu jugalah wanita. Nilai seorang wanita itu adalah sangatlah tinggi.
Sebab itu wanita perlu dijaga dan wanita juga perlu taat pada perintah suami bukan kerana dia lelaki tapi kerana dia adalah ketua dalam rumah tangga. Apakah seorang pekerja mempunyai kekuasaan melebihi pengurus syarikat tersebut? Suami yang laki-laki itu harus memperhatikan ketaatannya pada ibu tiga kali lebih dibanding pada ayahnya. Bukankah ibu itu seorang wanita? Jika ayah dan ibu berbeza dalam sesuatu masalah iaitu dalam perkara yang mubah (harus) anak lelaki harus mendukung pendirian ibunya.
Wanita menerima warisan kurang dari lelaki. Harta wanita itu akan menjadi milik pribadinya,tidak ada kewajiban sedikit pun untuk diberikan kepada suami. Sementara lelaki yang menerima warisan lebih banyak, setelah menikah, harus membelanjakannya untuk isteri dan anak-anaknya.
Wanita perlu bersusah payah untuk mengandung dan melahirkan anak, tetapi setiap saat dia didoakan oleh malaikat dan seluruh makhluk Allah di muka bumi. Jika ia meninggal dalam melahirkan anak, matinya adalah mati syahid.
Wanita yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya boleh memasuki syurga dari pintu mana saja yang dikehendaki. Cukup dengan empat syarat: menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, taat kepada suami,dan menjaga kehormatannya. Rasulullah bersabda:
"Bila seorang wanita solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, maka akan memasuki syurga dari pintu mana saja yang dikehendaki." (Hadits Riwayat Thabrani)
Seorang lelaki muslim perlu berjihad fisabilillah untuk mendapatkan pahala jihad. Berbeza dengan wanita, cukup dengan taat kepada suaminya dan menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah, tanpa susah-susah mengangkat senjata akan menerima pahala seperti pahala orang yang pergi berperang fisabilillah.
Lelaki ada kuasa talak sahaja tetapi wanita mempunyai banyak hak untuk membubarkan perkahwinan jika suami tidak menunaikan tanggungjawabnya atau melakukan mudarat pada isteri seperti dalam pandangan mazhab Maliki jika suami balik rumah dengan muka masam lalu isteri kecil hati ,maka ia boleh mengadu kepada qadi untuk memfakhsahkan perkahwinannya. Tetapi yang lebih tepat adalah mudarat seperti suami gagal tunai nafkah batin, mati pucuk, pukul isteri tidak mengikut syariat, melupuskan harta isteri, berkawan dengan permpuan jahat, melarang isteri menggunakan hak-haknya dan pelbagai lagi[1].
Berdasarkan satu hadith yang menyebut:
· إن لك من الأجر على قدر نصبك ونفقتك
Ertinya : "Sesungguhnya bagi kamu ganjaran pahala berdasarkan kepada kadar keletihan dan belanja ikhlas kamu" (Riwayat Ad-Dar Qutni dan Al-Hakim)
Menurut Imam Ibn Hajar di dalam Fath al-bari menjelaskan bahawa hadith ini pernah disebutkan oleh Nabi SAW kepada Aisyah r.a berkenaan umrah yang dilakukan oleh Aisyah. Dimana Nabi SAW diriwayatkan menyebut :
· إنما أجرك في عمرتك على قدر نفقتك
Ertinya : "Sesungguhnya ganjaran pahalamu (wahai Aisyah) ketika umrahmu ini adalah berdasarkan kadar kesukaran dan wang yang dibelanjakan"
Imam An-Nawawi pula berkata :-
· الحديث أن الثواب والفضل في العبادة يكثر بكثرة النصب والنفقة
Ertinya : "Zahir hadith ini menunjukkan ganjaran dan pahala dalam ibadah akan bertambah dengan bertambahnya keletihan dan belanja yang dikeluarkan" [2]
Begitu besar kasih sayang Allah s.w.t kepada kaum wanita. Malah banyak lagi kelebihan-kelebihan yang diberikan kepada wanita berbanding lelaki. Maka janganlah wanita-wanita memahami islam ini dalam skop yang sempit yang akhirnya akan mencemarkan imej islam itu sendiri.
Rujukan:
1) Kuliah Dr. Juanda Jaya
2) http://zaharuddin.net “Aurat Wanita Lebih : Adilkah ?”
Sunday, May 17, 2009
iktibar di sela2 waktu
“Mengapa dia tidak faham rintihan hati aku?” keluh seorang sahabat rapat kepada saya.
“Bukan aku tidak cinta, tetapi tolonglah berhias diri,” tambahnya lagi.
“Mengapa? Teruji sangatkah?”
“Apa tidaknya… di pejabat aku berdepan dengan berbagai-bagai wanita. Semuanya berhias dan berwangi-wangian.”
“Kau menjaga pandangan?”
“Bukan sahaja pandangan tetapi penciuman. Dunia akhir zaman, kau bukan tidak tahu.”
“Ya, iman kita sering teruji,” balas saya, seakan-akan menumpang keluhannya.
“Yang aku hairan tu, isteri aku ni bukan tidak cantik… cantik. Tapi entahlah, sekarang ni semakin hilang moodnya untuk menjaga diri.”
“Kita akan dah semakin berusia. Apa lagi yang kita cari dalam hidup ini,” pujuk saya untuk meredakannya.
“Tetapi itu bukan alasan untuk dia tidak menjaga diri. Kita sebagai suami sering diuji, setidak-tidaknya berilah sedikit bantuan untuk kita hadapi ujian itu.”
Saya senyum. ‘Bantuan’ yang dimaksudkannya membawa pelbagai tafsiran.
“Kau yang mesti mulakan dulu, insya-Allahlah isteri akan mengikut nanti,” cadang saya.
“Ya, aku dah mulakan. Mudah-mudahan dia dapat ’signal’ tu…”
“Amin.”
Saya termenung memikirkan ‘masalah kecil’ yang kekadang boleh mencetuskan masalah besar itu. Sepanjang pergaulan saya telah ramai suami yang saya temui mengeluh tentang sikap isteri yang malas berhias. “Apa guna, kita dah tua.” “Alah, awak ni tumpu ibadat lah.” “Dah tua buat cara tua.” Itulah antara alasan yang kerap kita dengar daripada para isteri.
Ramai suami yang baik, tidak memilih jalan singkat dan jahat untuk menyelesaikan masalah seperti menyimpan perempuan simpanan, pelacuran dan sebagainya. Ada juga yang ingin mencari jalan baik… (eh, seperti poligami) tetapi tidak berapa berani berdepan dengan isteri. Ada juga yang terus memendam rasa seperti sahabat rapat saya itu.
“Tak berani poligami?”Dia menggeleng kepala.
“Tak ada calon ke?” saya mengusik lagi.
“Ramai…”Memang saya lihat pada usia awal 40′an dia tambah segak dan bergaya.
“Habis kenapa?”Dia diam. Saya renung wajah sahabat saya yang begitu akrab sejak dahulu. Dia memang lelaki baik, berakhlak dan begitu rapi menjaga ibadah-ibadah khusus dan sunat.
“Aku sayang isteri aku. Sangat sayang. Aku tidak mahu hatinya terguris atau tercalar. Aku kenal dia… Walaupun mungkin dia tidak memberontak, tetapi kalau aku berpoligami dia pasti terluka.”
” Kau sudah berterus terang dengannya?”
“Tentang apa tentang poligami?”
“Bukanlah. Tapi tentang sikapnya yang malas berhias dan bersolek tu?”
“Aku takut melukakannya.”
“Tak palah kalau begitu, biar kau terluka, jangan dia terluka,” saya berkata dengan nada sinis.
Dia faham maksud saya.
“Aku sedang mencari jalan berterus-terang,” dia mengaku juga akhirnya.
“Tak payah susah-susah. Katakan padanya dia cantik, tetapi kalau berhias lebih cantik…”
“Lagi?”
“Katakan kepadanya, berhias itu ibadah bagi seorang isteri. Jadi, bila kita yakin berhias itu ibadah, tak kiralah dia telah tua ke atau masih muda, cantik atau buruk… dia kena berhias. Dapat pahala, walaupun tak jadi cantik, atau tak jadi muda semua,” saya senyum. Kemudian ketawa. Pada masa yang sama saya teringat apa yang dipaparkan oleh media massa bagaimana ‘ayam-ayam’ tua (pelacur-pelacur tua) yang terus cuba menghias diri untuk menarik pelanggan-pelanggan mereka. Mereka ini berhias untuk membuat dosa… Lalu apa salahnya isteri-isteri yang sudah berusia terus berhias bagi menarik hati suami mereka - berhias untuk mendapat pahala? Salahkah?
Mencari kecantikan isteri, bukan isteri yang cantik.
“Kita para suamipun banyak juga salahnya,” kata saya.
“Kita tak berhias?”
“Itu satu daripadanya. Tapi ada yang lebih salah daripada itu,” tambah saya lagi.
“Salah bagaimana?”
“Salah kita kerana kita masih mencari isteri yang cantik bukan kecantikan isteri!”
“Dalam makna kata-kata kau tu…”
“Tak juga. Sepatutnya, pada usia-usia begini fokus kita lebih kepada kecantikan isteri… Di mana kecantikan sejati mereka selama ini.”
“Pada aku tak susah. Pada hati mereka. Pada jasa dan budi yang selama ini dicurahkan untuk kita demi membina sebuah keluarga.”
“Ya, jangan tengok pada kulit wajah yang luntur tetapi lihat pada jasa yang ditabur. Bukan pada matanya yang sudah kehilangan sinar, tetapi lihat pada kesetiaan yang tidak pernah pudar. Itulah kecantikan seorang isteri walaupun mungkin dia bukan isteri yang cantik.”
“Kau telah luahkan apa yang sebenarnya aku rasakan. Itulah yang aku maksudkan tadi… aku tak sanggup berpoligami kerana terlalu kasihkannya.”
“Kasih ke kasihan?” saya menguji.
“Kasihan tak bertahan lama. Tetapi aku bertahan bertahun-tahun. Aku kasih, bukan kasihan.”
Tongkat ‘muhasabah diri’ vs tongkat Ali
“Relaks, aku bergurau. Tetapi ada benarnya kalau isteri katakan bahawa kita telah tua.”
“Maksud kau?”
“Bila kita sedar kita telah tua… kita akan lebih serius dan lajukan pecutan hati menuju Allah! Bukan masanya untuk berlalai-lalai lagi.”
” Ya, aku teringat kisah Imam Safie. Ketika usianya mencecah 40 tahun, dia terus memakai tongkat. Ketika muridnya bertanya kenapa? Kau tahu apa jawabnya?”
Saya diam.
“Beliau berkata, aku ingatkan diriku dengan tongkat ini bahawa usiaku sudah di penghujung, bukan masanya lagi untuk berlengah, tetapi untuk menambah pecutan dalam ibadah menuju Allah.”
Saya diam. Terus termenung. Imam Safie, tak silap saya wafat pada usia awal 50′an. Tepat sungguh firasatnya. Insya-Allah, jalannya menuju Allah sentiasa diredhai.
“Kalau kita seserius Imam Safie, insya-Allah, kita boleh hadapi masalah isteri tidak berhias ini. Kita akan cari kecantikannya yang abadi untuk sama-sama memecut jalan menuju Ilahi…” tegas sahabat saya itu.
“Kita tidak akan lagi diganggu-gugat oleh godaan kecantikan dari luar yang menguji iman. Kita juga tidak akan dikecewakan oleh pudarnya satu kecantikan dari dalam yang mengganggu kesetiaan.”
“Ya, kalau kita baik, isteripun akan baik. Bila hati baik, kita akan cantik selama-lamanya!”
Ironinya, ramai suami yang telah berusia masih belum sedar hakikat ini. Seperti imam Safie …pada usia-usia begini ramai suami yang mula mencari tongkat… Sayangnya, bukan ‘tongkat muhasabah diri’ tetapi tongkat Ali!
Friday, May 15, 2009
Renungan...
Yang Akan Ikut Mayat Adalah Tiga:
Keluarga, Hartanya, dan Amalnya.
Ada Dua Yang Kembali Dan Satu akan Tinggal
Bersamanya; Keluarga Dan Hartanya Akan Kembali
Sementara Amalnya Akan Tinggal Bersamanya.
Maka ketika Roh Meninggalkan Jasad...
Terdengarlah Suara Dari Langit Memekik,
"Wahai Fulan Anak Si Fulan..
Apakah Kau Yang Telah Meninggalkan Dunia,
Atau Dunia Yang Meninggalkanmu
Apakah Kau Yang Telah Menumpuk Harta Kekayaan,
Atau Kekayaan Yang Telah Menumpukmu
Apakah Kau Yang Telah Menumpuk Dunia,
Atau Dunia Yang Telah Menumpukmu
Apakah Kau Yang Telah Mengubur Dunia,
Atau Dunia Yang Telah Menguburmu."
Ketika Mayat Tergeletak Akan Dimandikan....
Terdengar Dari Langit Suara Memekik,
"Wahai Fulan Anak Si Fulan...
Mana Badanmu Yang Dahulunya Kuat
Mengapa Kini Terkulai Lemah
Mana Lisanmu Yang Dahulunya Fasih
Mengapa Kini Bungkam Tak Bersuara
Mana Telingamu Yang Dahulunya Mendengar
Mengapa Kini Tuli Dari Seribu Bahasa
Mana Sahabat-Sahabatmu Yang Dahulunya Setia
Mengapa Kini Raib Tak Bersuara"
Ketika Mayat Siap Dikafan...
Suara Dari Langit Terdengar Memekik,
"Wahai Fulan Anak Si Fulan
Berbahagialah Apabila Kau Bersahabat Dengan Ridha Celakalah Apabila
Kau Bersahabat Dengan Murka Allah
Wahai Fulan Anak Si Fulan...
Kini Kau Tengah Berada Dalam Sebuah Perjalanan
Nun Jauh Tanpa Bekal
Kau Telah Keluar Dari Rumahmu
Dan Tidak Akan Kembali Selamanya
Kini Kau Tengah Safar Pada Sebuah Tujuan
Yang Penuh Pertanyaan."
Ketika MayatDiusung....
Terdengar Dari Langit Suara Memekik,
"Wahai Fulan Anak Si Fulan..
Berbahagialah Apabila Amalmu Adalah Kebajikan Berbahagialah Apabila
Matimu Diawali Tobat Berbahagialah Apabila Hidupmu Penuh Dengan Taat."
Ketika MayatSiap Dishalatkan....
Terdengar Dari Langit Suara Memekik,
"Wahai Fulan Anak Si Fulan..
Setiap Pekerjaan Yang Kau Lakukan
Kelak Kau Lihat Hasilnya Di Akhirat
Apabila Baik Maka Kau Akan Melihatnya Baik
Apabila Buruk, Kau Akan Melihatnya Buruk."
Ketika MayatDibaringkan Di Liang Lahat....
terdengar Suara Memekik Dari Langit,
"Wahai Fulan Anak Si Fulan...
Apa Yang Telah Kau Siapkan Dari Rumahmu Yang Luas Di
Dunia Untuk Kehidupan Yang Penuh Gelap Gulita Di Sini
Wahai Fulan Anak Si Fulan...
Dahulu Kau Tertawa
Kini Dalam Perutku Kau Menangis
Dahulu Kau Bergembira
Kini Dalam Perutku Kau Berduka
Dahulu Kau Bertutur Kata
Kini Dalam Perutku Kau Bungkam Seribu Bahasa."
Ketika SemuaManusia Meninggalkannya Sendirian....
Allah Berkata Kepadanya,
"Wahai Hamba-Ku..... Kini Kau Tinggal Seorang Diri
Tiada Teman Dan Tiada Kerabat Di Sebuah Tempat Kecil, Sempit Dan Gelap..
Mereka Pergi Meninggalkanmu.. Seorang Diri
Padahal, Karena Mereka Kau Pernah Langgar Perintahku
Hari Ini,.... Akan Kutunjukan Kepadamu
Kasih Sayang-Ku
Yang Akan Takjub Seisi Alam
Aku Akan Menyayangimu
Lebih Dari Kasih Sayang Seorang Ibu Pada Anaknya".
Kepada Jiwa-Jiwa Yang Tenang Allah Berfirman,
"Wahai Jiwa Yang Tenang
Kembalilah Kepada Tuhanmu
Dengan Hati Yang Puas Lagi Diridhai-Nya
Maka Masuklah Ke Dalam Jamaah Hamba-Hamba-Ku
Dan Masuklah Ke Dalam Jannah-Ku"
Semoga Kematian akan menjadi pelajaran yang berharga
bagi kita dalam menjalani hidup ini. Rasulullah SAW. menganjurkan kita
untuk senantiasa mengingat mati (maut) dan dalam sebuah hadithnya
yang lain,
pelajaran bagimu!
Semoga bermanfaat bagi kita semua, Amiin....
Tuesday, May 12, 2009
Salam Rehlah & Muhasabah...
6th MIHAS semoga rehlah yg singkat ke MIHAS ni terus-menerus mbuka mata hatiku (dgn bantuan rakan2 sepejuanganku) ke jalan yg lurus menghadapMU kelak, ameen...
Thursday, May 7, 2009
Cerpen : luahan seorang ibu
.. dan kematian semakin akrab
“Abang, segeralah pulang ke kampung. Ibu sakit”. Begitu bunyi telegram yang aku terima dari tuan rumah sewaku ketika aku tiba. Telegram itu dikirim pukul 8 malam kelmarin. Fikiranku terus melayang tidak menentu. Apa yang terjadi? Ibu sakit apa?
Setahuku emak jarang sakit. Meski tidak nampak terlalu sihat, tetapi dia adalah perempuan yang kuat. Aku tidak pasti berapa usianya. Maklumlah orang dulu jarang yang memiliki sijil kelahiran. Yang jelas, saat aku pulang lebaran tahun lalu rambutnya sudah tidak ada yang hitam lagi. Wajahnya penuh kerut mirut, terutama di sudut bibir dan matanya. Bibirnya meriut dengan gigi hitam kemerah-merahan bekas kunyahan sirih pinang kegemarannya. Aku harus menengoknya dengan pulang segera.
Setelah menulis surat permohonan izin untuk cuti beberapa hari dari bekerja, malam hari itu juga aku terus berangkat dengan bas. Penuh, seperti biasa. Penuh orang, juga dengan pelbagai barang bawaan. Bau keringat menular di dalam bas. Kerana penghawa dingin bas belum dihidupkan lagi. Jadi bas dalam keadaan yang tidak menyelesakan. Aku meniki awal kerana untuk menghilangkan keresahan. Aku yang di utara terus hendak ke selatan. Segala hiruk pikuk serta rungutan kedengaran dan sedikit pun tidak menarik perhatianku. Badan kusandarkan, tetapi fikiranku sudah melayang lebih dulu pulang dan di rumah. Sesekali kuperhatikan seorang pak cik yang duduk di sisi kananku. Gurat alisnya menggambarkan, pakcik ini seperti seorang yang garang juga pemarah. Sepanjang malam dia tertidur pulas dengan mulut ternganga. Aku tersenyum sendirian. Gigi atas bahagian tengah pakcik itu telah tanggal dan menawarkan kegelapan yang pekat dari dalam rongga mulutnya. Dapat kulihat saat
lampu di dalam perut bas menyala.
Itulah pemandangan terakhir yang kuingat, sebelum aku terlena. Dan ketika aku terbangun, bas sudah memasuki perhentian terakhir. Tiba di destinasiku. Lama sekali lenaku. Sekitar 6 jam setengah kadar masa perjalananku. Di perhentian pun aku tidak sedarkan diri.
***
Awal pagi itu, setelah tiba di hujung desa dengan menaiki teksi, kulanjutkan perjalanan menuju rumah dengan meredahi yang dahulunya adalah denai-denai. Aku tidak punya firasat apa-apa. Kuperhatikan jalan desa yang kini sudah bertar. Rapi. Padahal kali terakhir aku pulang, jalan ini masih tanah merah.
“Apa kabar bang?” seorang pedagang ayam mendahului laju langkahku dengan basikal tuanya dan bakul yang penuh dengan ayam menyapaku. Seperti telah lama mengenali. Mesranya.
“Baik. Bagaimana dik?” jawabku mesra juga,memecah kesunyian. Dia menjawab tetapi tidak terlalu kuperhatikan, kerana bersamaan dengan itu, mataku terpandang pada sebuah bendera kertas berkibar lesu berwarna kuning di muka lorong yang lengang lagi sepi. Ini adalah petanda ada khabar duka. Beginilah tradisi di kampungku. Masih tak ubah seperti dulu. Berbeza di bandar. Sukar untuk diketahui musibah atau bencana yang tiba pada sesebuah kawasan mahupun keluarga.
Aku lajukan langkah, berlari. Terus berlari. Aku berharap bendera musibah itu tidak bermuara di rumahku.
“Ya Allah, jangan Kau ambil ibuku sekarang! Berikanlah aku peluang.” Nafasku hampir putus, jantungku berdebar kencang. Sapaan orang yang lalu lalang tidak kuhiraukan. Tujuanku hanya ingin segera tiba di rumah. Menyaksikan sendiri.
Di pintu pagar rumah aku terkesima. Terduduk sendirian. Di dalam rumah penuh dengan wajah jiran tetangga juga saudara mara. Adik-adikku keluar menyambut. Tiada kurasa sambutan seorang ibu yang kucinta lagi.
“Abang, ibu bang...” Kerongkongannya tersekat. Kami menangis. Adik-adikku, aku, jiran tetangga juga saudara mara. Semua menangis akan pemergian ibu. Ibu meninggal saat aku dalam perjalanan semalam, dan kini sudah berada di alam lain.
Begitulah ibuku yang disenangi masyarakat setempat, mendidik anak-anak kecil mangaji Muqaddam serta Al Quran. Jauh di sudut hati, aku amat berbangga memiliki ibu seperti dia. Yang dikagumi semua.
***
Siang itu, aku bersama adik-adik ziarah ke kubur. Dengan hati masih disayut sedih akan pemergian ibu. Aku melangkah lesu. Dan aku merasakan adikku juga begitu.
“Sudahlah nak, ikhlaskanlah pemergiannya.” Suara Sharkawi, tetangga yang selalu menemani adik-adikku ini, terus mencuba menenangkan aku dan adik-adik. Kami semua larut dalam doa dan tangis. Ayu adik perempuanku tampak tegas, meski buliran permata bening terus mengalir di pipi air matanya. Sedangkan Azlan, hanya diam tanpa bicara juga air mata. Adik lelaki satuku itu memang pendiam. Namun aku yakin, kepala kami sama-sama sedang disibukkan mengenang saat-saat indah tika ibu masih ada. Suka, duka. Sedih, bahagia.
“Abang, ibu ada tinggalkan pesan buat abang,” kata Ayu, sayu.
“Ayu ada merakamkannya, bang. Kasetnya ada di rumah,” lanjutnya lagi. Lalu dia menangis lagi sambil merapatkan kepalanya dibahu kiriku. ‘Ah, Ayu, adik perempuanku itu, dari kecil dia memang yang paling aktif dan jauh pemikirannya. Bagaimana dia terfikir merakam suara ibu, saat detik-detik terakhir sebelum pemergiannya. Meskipun aku agak hairan dengan keputusannya merakam suara ibu, aku diam saja.’ Melayan perasaanku sendiri.
“Kita sekarang sendirian. Innalillahi wa inna ilaihi raji’un,” kataku cuba gagah. Menenangkan adik-adikku. Setidaknya di hadapan Sharkawi dan Ayu. Aku memeluk bahu Ayu yang masih teresak menagis dan mengeratkan genggaman tanganku dengan tangan Sharkawi.
***
Dengan perasaan bercampur baur dan rasa ingin tahu kudengarkan kaset rakaman Ayu. Bahasanya agak samar-samar. Kusalin satu persatu dalam agenda yang selalu dibawa. Setelah kuterjemahkan dalam bahasa yang kufahami, beginilah isi kaset itu:
“Ahh.. panas sangat anakku, mana abangmu, sudah pulangkah dia?” Suara ibu lambat-lambat dan sangat lemah.
“Belum bu, masih dalam perjalanan,” Ayu cuba mententeramkan.
“Abangmu itu, kenapa dia tidak mahu tinggal di kampung saja. Dia tidak pernah puas dengan dirinya.” Suara ibu kian lemah
“Dia itu orang kampung, tapi kenapa jiwanya tidak sedemikian. Kenapalah dia jarang pulang. Sia-sia saja ibu namakan dia Iskandar. Abangmu itu tidak pernah mahu menjadi Iskandar, seorang perwira dikampungnya sendiri” suara ibu terdengar luluh kecewa.
“Mahu jadi apa dia?” lanjutnya ibu lagi.
“Ahh.. biarlah. Allah itu Maha Adil. Dia tahu mana yang baik untuk hambanya.” Ibu menghibur diri dengan suaranya lirihnya sendiri.
“Ibu minum ya?” suara Ayu menawarkan minum.
“Ya, letakkan ais yang banyak, biar kerongkong ini dingin. Dulu, abangmu itu tinggal di rahimku 11 bulan. Paling lama dari kalian berdua. Kerana itu, ibumu ini tidak menyesal jika harus pergi sekarang. Yang memiliki hidup sudah menanti. Hanya saja, ibumu ini ingin mati sambil menggenggam tangan abangmu itu. Dia saudaramu yang tua dalam keluarga ini. Tegas, serius, tetapi baik hati.” Mendengar suara ibu yang ini, aku menangis. Teresak-esak. Tidak tertahan.
“Ibu, minum dulu,” suara Ayu lagi.
“Sudahlah, ibu tidak ingin minum lagi. Usapkan saja dingin ais air itu ke leher ibu.” Keinginan ibu berubah.
“Kalau ibu pergi nanti, dan abangmu belum tiba, ibu ingin kalian sampaikan pesan ini padanya.” Suara tangis terdengar meledak. Suara Ayu.
“Pesan ini untuk kalian juga. Hidup yang benar, bukanlah hidup yag selalu senang dan selesa. Hidup yang benar adalah hidup yang berusaha untuk lebih mencintai dan dicintai.” Terdengar suara ibu mengambil nafas. Dalam nada tersekat-sekat.
“Ya, mencintai alam, sesama insan juga makhlukNYA dan lebih utama mencintai Tuhan Pencipta Sekalian Alam. Maka kalian akan dicintai juga nanti.. Insya`allah. Jangan disusahkan hidup yang mudah ini. Tidak habis-habis mencari harta. Hidup itu memberi. Hiduplah dalam kasih sayang. Biar taat jangan takut.”
“Ibu, katakanlah apa saja bu,” suara Ayu terdengar tidak sabar.
“Hhhh...aa..aayahhmu... ayahmu sudah menanti. Lihat dia, gagah sekali.”
Kata Ayu saat emak mengucap kalimat ini, matanya menatap jauh, nyaris hampa. Redup dan sayup.
“Ya Allah bersyukurku, Engkau telah berkenan mempertemukan aku dengan suamiku lagi.” Lama emak terdiam, mungkin sedang mengumpulkan tenaga serta kekuatan terakhirnya.
“Kalian jangan takut pada kematian ya. Kalian harus ingat pada kematian dan doakanlah sentiasa kedua ibu ayahmu ya. Ahh... ayahmu memang lelaki budiman, pembela keluarga.”
“Ibu, mengucap bu. Asyahadu allaaaillaahaa illallah, wa asyhadu anna muhammadurrasulullah,” Ayu setengah berteriak, suaranya terdengar kian tidak sabar. Tangisan mula mengalir di pipi.
“Se..se..sebennntarrr... Ibuuu beeluum selesaii bicara denganmuu. Saa..baarrr...lah se..dikit lagi.” Telah ibu dalam kepayahan. Nadanya terputus-putus.
“Anakku, cintailah maut segigih engkau memperjuangkan hidup. Hiduplah dengan melaksanakan yang baik dan benar, dan dengan seperti itu kamu telah mencintai maut segigih memperjuangkan hidup.”
“Ja...jangannnn, jaaangaaannn iringi pemergian ibu dengan tangis air mataaa naaa..k..”
“Ibu, mengucap bu. Ikutlah bu! Asyahadu allaaaillaahaa illallah, wa asyhadu anna muhammadurrasulullah,” Bisik Ayu berulang kali.
“Anakku, jika ibu pergi, jangan pernah berebut harta warisan yang ditinggalkan ya... Ingatlah, hidup itu lebih bererti dengan memberi. Jika memberi kalian akan tenteram dan aman Tetapi kalau hidupmu meminta... ahhh... anakku.. jangan sesekali begitu. Jangan jadi penyesalan dalam hidupmu kelak.” Suara ibu kian lemah dan lirih. Terdengar dia mengambil nafas, perlahan-perlahan kemudian dihimpunnya untuk meneruskan kata-kata.
“Memang sudah tiba waktunya. Ayahmu sudah datang menjemput. Kalian ingat apa yang pernah diajarkan ayahmu?” Tidak ada jawapan, hanya esakan tangis yang kian kencang.
“Biar kuulangi. Ayah kalian sering katakan, belajarlah tentang hidup dan bersabarlah. Salah kalau ada yang bicara bahawa sabar itu ada batasnya dan telah sehabisnya bersabar. Sabar memang ada batasnya, tahukah kamu apa batasnya? Batasnya adalah ajal. Seperti ibu kini nak.. bersabarlah tika hidup..”
“Ibu, sudahlah tu bu. Mengucap bu.. Asyahadu allaaaillaahaa illallah, wa asyhadu anna muhammadurrasulullah,” Kali ini suara Azlan yang keluar. Nafas ibu kian kencang..
“Waktuuu iii..bu cuma seee..dikit, ibu tidak mahu kehilangan yang sedikit itu nakkk... Di dunia ini, manusia ibarat musafir lalu sahaja. Banyak bekalan yang dibawa, maka untunglah dia. Tetapi kalau sedikit amat merugilah diri..sampai bila-bilaaa...”
“Ahhh...., saaakiiiiii...t naaaakkkk... astagfirullah al`adzim..asy..asyhadualla ilaha..”
Aku membayangkan saat itu, jari-jari kaki dan tangan ibu mulai dingin dan pucat.
“Betapa sakitnya sebuah kematian itu,” kataku sendirian. Dan kurasakan dadaku berombak kencang. Air mata terus menitisnya.
“Ibu, mengucap buuuu!!” Suara teriakan Azlan dan Ayu terdengar pilu juga sayu. Suara esak tangis kian ramai terdengar di sudut ruang rumah mereka. Kurasakan kematian kian mendekat dan aromanya semakin akrab hampir kepada ibu.
“Saaaabaaaarrr, saaaabbbaaarrr... ingatlah pesan ibu naaakkk. ..asy..asyhadualla ilaha..illal...lahh.......” Lalu pupuslah bunga hidup ibu. Laksana perdu putri semalu yang tersentuh karibnya oleh alam.
“Ya Allah, Kau ambil nyawanya, ibuku. Rahmati dan redhailah pemergiannya ini Ya Allah.” Batinku menangis semahunya sambil mengingati segala kata ibu.
***
“Ayuuu! Bakar saja kaset ini!”
“Abangg!”
“Bakarrr!” teriak dan arahku
Kedua adikku bertambah esak tangisnya. Deras. Mungkin kerana mendengar arahanku yang agak keras. Aku lakukan sedemikian agar segala itu tidak membuatkan aku teringat-ingat sangat dengan kata-kata ibu. Betapa bersalahnya aku rasakan kerana tidak menunaikan keinginannya.
Tugasku kini mendewasakan 2 orang adikku dengan ilmu. Menggantikan tempat ayah yang telah lama pergi. Menggantikan tempat ibu yang baru menyusulnya. Kanku semampunya laksanakan tugas itu sesempurna mungkin. Agar ada manfaatnya buat diriku buat bekalanku apabila menyusuli seperti ibu itu.
Kudakap dua permata yang didepan mata yang baru menginjak usia remaja, sambil kuterangkan kepada mereka. Mengapa aku pinta melakukan sedemikian. Dan aku pun terus memikirkan sesuatu untuk kehidupan diri juga dua insan ini.
Kurenung ke hadapan. Rupanya ada sesuatu yang perlu aku tunai dan usaikan...
2008-05-31
TERATAK IBTISA
wanita haid & al-Qur'an
Menurut seorang penulis daripada artikelnya bertajuk 'Amalan Wanita yang didatangi Haid dalam bulan Ramadhan', beliau memberikan beberapa dalil dan ayat-ayat al-Quran yang membincangkan tentang isu ini.
Berikut adalah artikel yang ditulis oleh beliau, dan semoga kita mendapat manfaat darinya InsyaAllah.
PERTAMA: Hukum wanita yang didatangi haid memegang al-Qur’an.
Umumnya terdapat dua pendapat, yang pertama mengatakan tidak boleh manakala yang kedua berkata boleh.
- Pendapat yang pertama merujuk kepada firman Allah:
Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci. [al-Waqiah 56:79]
Diikuti dengan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: Tidaklah menyentuh al-Qur’an dan tidak juga mushaf melainkan orang yang suci.
- Manakala bagi pendapat kedua, mereka berpegang kepada kaedah bahawa seseorang wanita yang sedang haid boleh melakukan semua perkara seperti biasa melainkan wujud dalil tepat (qathi) yang melarangnya.
Dalam hal ini yang jelas dilarang adalah bersolat, berpuasa, melakukan tawaf dan bersetubuh. Adapun hukum memegang al-Qur’an, tidak ada dalil tepat yang melarang seseorang yang sedang haid daripada memegangnya.
Ayat al-Qur’an yang dijadikan rujukan oleh pendapat pertama adalah tidak tepat untuk dijadikan hujah kerana perkataan al-Mutatahharun sebenarnya merujuk kepada para malaikat sebagaimana yang boleh dilihat daripada keseluruhan ayat yang berkaitan:
Bahawa sesungguhnya itu ialah Al-Quran yang mulia, Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci; Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam. [al-Waqiah 56:77-80]
Berkata Ibnu Abbas radhiallahu 'anh, ayat “fii Kitabim-maknun” bererti di langit, yakni di al-Lauh al-Mahfuz manakala al-Mutatahharun adalah para malaikat yang suci.
Justeru keseluruhan ayat sebenarnya menerangkan tentang kitab al-Qur’an yang sebelum ini tersimpan dalam al-Lauh al-Mahfuz, di sana ia tidak disentuh oleh sesiapa kecuali para malaikat sehinggalah ia diturunkan ke bumi kepada manusia.
Hadis yang dijadikan dalil melarang adalah juga tidak tepat sandarannya kerana perkataan al-Taharun yang bererti suci adalah satu perkataan yang memiliki banyak erti (lafaz Mushtarak) dan mengikut kaedah Usul Fiqh: Sesuatu perkataan yang memiliki banyak erti tidak boleh dibataskan kepada satu maksud tertentu melainkan wujud petunjuk yang dapat mendokongi pembatasan tersebut.
Perkataan suci dalam hadis di atas boleh bererti suci daripada najis seperti tahi dan air kencing. Boleh juga bererti suci daripada hadas besar seperti haid dan junub, dan suci daripada hadas kecil yakni seseorang yang dalam keadaan wudhu’. Ia juga boleh bererti suci dari sudut akidah sepertimana firman Allah terhadap orang-orang musyrik: Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis. [al-Taubah 9:28]
Oleh itu perlu dicari maksud sebenar kepada perkataan suci dalam hadis di atas. Salah satu caranya ialah dengan mengkaji keseluruhan hadis di mana ia sebenarnya adalah sepucuk surat yang dihantar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada seorang sahabat di Yaman.
Pada saat itu Yaman adalah sebuah wilayah yang penduduknya masih terdiri daripada campuran orang bukan Islam dan Islam, justeru kemungkinan yang besar adalah surat tersebut bertujuan melarang al-Qur’an daripada disentuh oleh orang bukan Islam. Himpunan antara asal usul hadis dan rujukan al-Qur’an kepada orang musyrik sebagai najis dapat mengarah kepada satu petunjuk yang tepat bahawa erti suci dalam hadis di atas sebenarnya merujuk kepada orang Islam.
Justeru keseluruhan hadis sebenarnya melarang orang-orang bukan Islam daripada memegang kitab atau mushaf al-Qur’an.
Akhirnya jika dianalisa antara dua pendapat di atas, yang lebih tepat adalah pendapat kedua yang membolehkan seorang wanita yang sedang haid untuk memegang al-Qur’an.
****
KEDUA: Hukum wanita yang didatangi haid membaca al-Qur’an. Dalam persoalan ini terdapat sebuah hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid.
Hadis ini memiliki beberapa jalan periwayatan namun setiap darinya adalah dha‘if.
Berkata Imam al-Nawawi rahimahullah (676H): Adapun hadis Ibn Umar:
“Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid” , maka ia diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Baihaqi dan selainnya. Ia adalah hadis yang dha‘if, didha‘ifkan oleh al-Bukhari, al-Baihaqi dan selainnya. Kedha‘ifan yang terdapat padanya adalah jelas.
Namun sebahagian ahli fiqh tetap melarang seorang wanita yang sedang haid daripada membaca al-Qur’an kerana diqiyaskan keadaan haid kepada keadaan junub.
Namun hal ini dianggap tidak tepat kerana dua sebab:
1. Peranan qiyas ialah mengeluarkan hukum bagi perkara-perkara yang tidak wujud pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apa-apa perkara baru yang wujud selepas itu, maka hukumnya disandarkan secara analogi kepada sesuatu yang sudah sedia dihukumkan pada zaman Rasulullah berdasarkan kesamaan sebabnya (‘illat). Adapun haid, maka ia adalah sesuatu yang wujud secara lazim pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apabila pada zaman itu Allah dan Rasul-Nya tidak menjatuhkan hukum melarang wanita yang haid daripada membaca al-Qur’an, maka tidak perlu bagi orang-orang terkemudian membuat hukum yang baru.
2. Haid dan junub adalah dua keadaan yang jauh berbeza. Junub adalah satu keadaan di mana seseorang itu memiliki pilihan untuk berada dalamnya atau tidak, dan seseorang itu boleh keluar daripada keadaan junub pada bila-bila masa melalui mandi wajib atau tayamum. Berbeza halnya dengan haid, ia bermula dan berakhir tanpa pilihan. Sebahagian lain melarang atas dasar memelihara kesucian dan keagungan al-Qur’an. Justeru mereka berpendapat tidak boleh membaca (mentilawahkan) al-Qur’an kecuali beberapa perkataan atas dasar zikir dan memperoleh keberkatan.
Pendapat ini juga dianggap kurang tepat kerana seseorang wanita, sama ada dalam keadaan haid atau tidak, tetap dianggap suci dan dihalalkan bagi mereka semua yang dihalalkan melainkan wujudnya dalil yang sahih yang melarang sesuatu ibadah seperti solat, puasa, tawaf dan bersetubuh.
Adapun pensyari‘atan mandi wajib selepas berakhirnya tempoh haid, ia adalah penyucian atas sesuatu yang sedia suci dan bukannya penyucian atas sesuatu yang sebelum itu bersifat najis. Oleh itu tidaklah berkurang sedikitpun kesucian dan keagungan al-Qur’an apabila ia dibaca oleh seseorang wanita yang sedang dalam keadaan haid.
Pernah sekali Abu Hurairah radhiallahu 'anh mengasingkan diri daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Beliau balik ke rumah untuk mandi wajib dan kemudian kembali. Rasulullah bertanya kenapakah dilakukan sedemikian, lalu Abu Hurairah menerangkan bahawa tadi beliau sebenarnya dalam keadaan junub. Mendengar itu Rasulullah bersabda: Subhanallah! Wahai Abu Hurairah! Sesungguhnya orang mukmin tidaklah ia menjadi najis. Kata-kata Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di atas bersifat umum, menunjukkan bahawa seorang mukmin tidaklah ia sekali-kali akan berada dalam keadaan najis sekalipun dia dalam keadaan junub. Termasuk dalam keumuman hadis ini ialah wanita yang sedang haid.
****
Sebagai rumusan kepada kupasan ini, berikut dinukil kata-kata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H):
Sesungguhnya para wanita mereka mengalami haid pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, maka seandainya membaca al-Qur’an diharamkan ke atas mereka (ketika haid) sepertimana solat, pasti baginda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam akan menjelaskannya kepada umatnya. Baginda akan mengajarnya kepada para Ummul Mukminun (para isteri baginda) dan akan dinukil daripada mereka oleh orang ramai. Akan tetapi tidak ada satupun (riwayat) yang melarang yang dinukil daripada Nabi. Oleh itu hal ini tidak boleh dianggap terlarang padahal telah diketahui bahawa baginda tidak melarangnya. Justeru jika baginda tidak melarangnya padahal ramai wanita yang haid di zamannya, maka sesungguhnya ketahuilah bahawa ia sememangnya tidak haram.
****
Kesimpulan,
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Alif-Lam-Mim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. [al-Baqarah 2:1-2]
Setiap individu Muslim yang bertaqwa memerlukan al-Qur’an sebagai kitab yang memberi petunjuk kepada mereka. Petunjuk ini diperlukan pada setiap masa dan tempat, termasuk oleh para wanita ketika mereka didatangi haid. Tidak mungkin untuk dikatakan bahawa ketika haid mereka tidak memerlukan petunjuk dalam kehidupan sehari-harian mereka. Atas keperluan inilah al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih tidak melarang para wanita yang didatangi haid daripada memegang dan membaca al-Qur’an seperti biasa. Adapun pendapat yang mengatakan ianya haram, ia adalah pendapat yang lemah sekalipun masyhur.