Pages

Friday, August 16, 2013

KHUTBAH MESIR




الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Khatib pada hari ini bersama seluruh umat Islam menyatakan rasa dukacita yang amat sangat ke atas saudara-saudara se iman yang dizalimi dan dibunuh dengan sewenang-wenangnya di bumi anbiya’ – bumi Mesir. Saat ini ketika teks khutbah ini dinukil, sudah lebih dari 2,200 rakyat Mesir termasuk wanita dan kanak-kanak yang sudah terkorban syahid. Bilangan yang tercedera sudah menjangkau lebih dari 10,000 orang. Hari ini dan saat khutbah ini disampaikan pada hari Jumaat 9 Syawal 1434H, berapakah pula bilangan umat Islam yang terkorban syahid akibat perbuatan kelompok zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Apa yang amat menyedihkan ialah umat Islam di Mesir dibunuh tanpa belas kasihan oleh tentera Mesir sendiri. Apakah jenayah mereka sehingga diperlakukan dengan begitu biadap. Bukankah tugas tentera ialah menjaga keselamatan negara dari pencerobohan musuh dan anasir luar. Dalam situasi Mesir sudah tentulah musuh utama yang paling hampir menjadi ancaman kepada keselamatannya ialah Israel. Namun apa yang berlaku sejak tarikh Presiden Morsi digulingkan, tentera nampaknya lebih berminat untuk menjamin keselamatan Israel dengan membunuh rakyatnya sendiri.

Kenapa General Abdul Fattah As sisi sanggup mengerah tentera untuk bertindak bukan sahaja di luar batas syara’ (Islam) bahkan melampaui batas kemanusiaan, apapun prinsip dan dasarnya. Tindakan kebinatangan ini meletakkan kelompok yang menyokong kudeta ke atas Presiden Morsi dan kerajaan beliau yang sah berada semakin jauh terperosok ke dalam kesalahan jenayah yang dilakukan. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Allah SWT mengingatkan kita di dalam al Quran tentang kesah Musa a.s. yang berhadapan dengan kekuasaan Firaun. Firaun telah melakukan kezaliman yang tidak terperi di bumi Mesir.

Firman Allah SWT


Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.

Firaun telah mengerahkan pasukan perisik dan bala tenteranya untuk memburu anak-anak Bani Israel dan membunuh mereka. Firaun berusaha untuk menghapuskan keturunan Bani Israel yang dibimbangi akan melenyapkan kekuasaan di atas muka bumi. 

Namun Allah SWT maha berkuasa untuk menghapuskan kezaliman Firaun dengan cara-cara yang tidak disangka sama sekali oleh manusia.




"Dan demi sesungguhnya! Kami telahpun mengurniakan kepadamu berbagai nikmat pada satu masa yang lain sebelum ini

"Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya:


"Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya; dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Allah yang akan memelihara agama Nya. Perhatikan bagaimana Musa a.s. yang diburu oleh Firaun langsung dihantar oleh Allah SWT kepada Firaun itu sendiri di dalam bakul bayi yang dihanyutkan ke hilir Sungai Nil. Pastinya Firaun yang berhasrat untuk menghapuskan kaum lelaki Bani Israel tidak akan teragak-agak untuk menghapuskan bayi lelaki yang ditemuinya. Tetapi sebaliknya bayi lelaki yang tidak berdaya itu di selamatkan oleh Allah dengan pandangan kasih seorang wanita. Isteri Firaun yang melihat bayi itu lantas jatuh hati kepadanya dan melindungi Musa a.s. dari disakiti oleh Firaun. Cuba renungkan bagaimana kelembutan seorang wanita melindungi Musa a.s. dari seorang Firaun yang amat keras hatinya yang tidak ada belas kasihan sedikitpun tersisa di hati.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Hari ini kita berkenalan dengan seorang Firaun di zaman ini dan bala tenteranya yang tidak ada sedikitpun rasa bersalah ketika mereka menala senjata dan membidik tepat untuk membunuh lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak bersenjata. Firaun yang dihantar kepada kita pada hari ini melampaui kezaliman yang dipamerkan oleh Firaun klasik di zaman Musa a.s. Apakah mereka menyangka perbuatan mereka tidak diperhatikan oleh Allah. Allah yang sama yang menyelamatkan Musa a.s dan menghantar baginda kepada Firaun adalah Allah yang sama yang sedang menyaksikan dan memantau apa yang berlaku di medan Rabaah dan di seluruh bumi Mesir. Allah yang sama yang mengazab Firaun adalah Allah yang sedang memerhatikan setiap tindak tanduk As Sissi dan bala tenteranya. Tidak ada yang terselindung dari pengetahuan Allah. Semuanya dirakamkan dengan penuh sehingga tidak ada ruang untuk berlepas diri dari setiap kezaliman yang mereka timpakan ke atas rakyat Mesir. Mereka akan diadili dengan sangat teliti dan keras.
Allah SWT berfirman.


Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh? (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing). Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu. Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka berbagai paluan azab; Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas, (terutama balasan akhirat).

Allah SWT kemudian membinasakan Firaun dan segala alat-alat kekuasaan dan kebesarannya. 



Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Rakyat Mesir yang sedang dizalimi berada di dalam kebenaran. Mereka akan dibela oleh Allah dan dimuliakan atas pengorbanan mereka. Sebahagian besar dari mereka insyaAllah dikurniakan syahid yang didambakan oleh semua manusia yang beriman dengan Allah, RasulNya dan hari kemudian.

Persoalan kini ialah bagaimana dengan sikap dan tindakan kita terhadap saudara kita di Mesir. Apakah pantas untuk kita hanya berdiam diri. Apakah kita hanya memerhati tanpa iman kita tidak terusik sedikitpun. Di manakah hendak kita letak hadis Nabi SAW. 

“Umat Islam ibarat satu tubuh, jika sebahagian tubuh merasa sakit maka seluruh tubuh akan merasakan sakitnya dan tidak bolih tidur malam”

“Barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan umat ini maka ia bukan dari kalangan mereka”

Sesungguhnya umat Islam pada hari ini sedang diuji oleh Allah SWT. Allah paparkan ulangan sejarah silam di depan mata untuk menilai mirip siapakah sikap kita? Apakah kita akan bersama dengan pendukong kebenaran dan menyatakan al Hak sebagai al Hak meskipun seluruh dunia berusaha untuk menghancurkannya. Musuh-musuh Islam pada hari ini bersatu hati untuk mempersempit perlaksanaan Islam dalam kehidupan dan sistem pemerintahan. Israel, Amerika Syarikat, Arab Saudi, negara-negara Teluk dan golongan secular-liberal dari sisa-sisa pemerintahan Mubarak berusaha untuk menamatkan pemerintahan soleh yang berdiri di atas akhlak dan prinsip Islam. Mereka tidak mahu Mesir bahkan mana-mana bumi Allah ini di tadbir oleh Islam dan pendukong-pendukongnya yang ikhlas. Namun Allah SWT akan tetap menyempurnakan agamanya.



Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

Maka kita menyeru mereka yang memegang tampuk-tampuk kekuasaan di persada Islam ambil lah pendirian yang menepati ruh al Quran dan jalan kemuliaan yang dilalui oleh para Rasul dan mereka yang mengikuti jalan-jalan itu. Bersuaralah supaya kezaliman dan kebejatan ini dihentikan. Sanggupkah kalian melihat darah saudara-saudara kamu terus dialirkan dengan begitu murah. Ambil lah apa juga langkah-langkah diplomatik, ekonomi dan gunalah semua saluran di peringkat antarabangsa untuk menghentikan kebiadapan yang menjolok mata ini. Mereka itu adalah saudara-saudara anda dan saudara kita. Sekurang-kurangnya beberapa negara bukan Islam telah bersuara dan mengutuk perbuatan zalim yang dilakukan oleh kerajaan paksaan Mesir. Mereka didorong oleh rasa kemanusiaan dan tidak sanggup menyaksikan penderitaan yangh ditanggung oleh rakyat Mesir. Kita bukan sahaja punya rasa kemanusiaan bahkan kita dipertautkan oleh iman dan takwa. Tidak kah ini hubungan yang lebih kuat bahkan hubungan yang berkekalan dari dunia sampai akhirat, yang mampu untuk bingkas bangun dan menyelamatkan saudara-saudara kita?

Ingatlah kita mencari redha Allah. Kesemua kekuasaan yang ada di atas muka bumi ini meskipun mereka punya kekayaan yang melimpah ruah seperti miripnya Firaun di zaman lalu, mereka bukan tempat pergantungan. Tiba masanya Allah akan menghapuskan kekuasaan mereka lalu mereka tidak punya apa-apa. Bahkan mereka tidak mampu mengangkat satu jari pun walaupun sekadar untuk menjentik apabila datang saat itu.

      قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاء وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاء وَتُعِزُّ مَن تَشَاء وَتُذِلُّ مَن تَشَاء بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ {26}

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Ali Imran: 26. 

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Monday, October 8, 2012

BAWAH Dagu Wanita; Aurat

Ini adalah email pertanyaan melalui http://mufti.perlis.gov.my/ dari:
Jabatan Mufti Negeri Perlis telah menerima pertanyaan hukum dari En abdullah azzam melalui e-mel.

Berikut adalah penjelasan hukum yang diberikan dan telah diperakui oleh S.S. Mufti Dr. Juanda bin Jaya.

Soalan:


Adakah dagu wanita termasuk aurat (anggota) yang dilarang memperlihatkannya.. saya ada melihat wanita yang memakai tudung dan menutup dagunya..minta penjelasan wallahua'lam

Jawapan:
Dagu wanita tidak termasuk di dalam aurat. Barangkali yang dimaksudkan oleh saudara iaitulah bahagian bawah dagu wanita.

Maka jawapannya, bahagian bawah dagu wanita adalah TERMASUK AURAT yang wajib ditutup.

 Ini kerana bahagian tersebut tidak termasuk dari batas-batas wajah yang boleh dibuka. al-Syirazi berkata: 

والوجه ما بين منابت شعر الرأس إلى الذقن ومنتهى اللحيين طولاً، ومن الأذن إلى الأذن عرضاً

Maksudnya: “Dan wajah itu apa yang ada diantara tempat tumbuh rambut kepala hingga ke dagu dan hujung kedua-dua rahang, secara panjang. Lebarnya pula dari telinga hingga ke telingan satu lagi.” 

Kata al-Nawawi di dalam al-Majmu’ ketika memberi komentar kepada perkataan al-Syirazi ini:
هذا الذي ذكره المصنف في حد الوجه هو الصواب الذي عليه الأصحاب ونص عليه الشافعي رحمه الله في الأم

Maksudnya: “Yang disebut oleh penulis (al-Syirazi) tentang batas wajah, ianya benar seperti pandangan al-Ashab, dan telah dinyatakan perkara ini oleh al-Syafie RH di dalam kitabnya al-Umm.”

Wallahu a’lam.

Shared from: Mufti Perlis

Monday, October 1, 2012

Solat; Usap Muka Selepas Salam

Salam Ustazah,

Saya ingin mendapat penjelasan tentang hukum mengusap muka selepas memberi salam ketika solat. Apakah itu sunnah Rasulullah SAW ? Saya mendapati ada orang yang melakukannya dan ada orang yang tidak melakukannya. Terima kasih.

Puan Rabiatul Adawiyyah,

Batu Pahat.


Ustazah Shahidah (Guru Sek.Islam Hidayah)
Timb. KW IKRAM Johor

Jawapan:

Assalamualaikum wbt. Benar seperti yang puan katakan bahawa di sana ada orang yang mengusap wajah dan ada yang tidak malahan ada berbagai gaya dan aksi dalam perbuatan tersebut. 

Apa yang ingin ditekankan disini bahawa semua itu bukan amalan Nabi SAW. Maka ia bukan sunnah. Pertanyaan puan akan saya jawab berdasarkan pendapat ulama yang mu’tabar yang mempunyai sandaran yang sahih dan kuat.

Berdasarkan fatwa Imam asy-Syafie rahimahullah. Beliau menentang perbuatan tersebut (menyapu muka) sebagaimana dijelaskan oleh beliau melalui hadis yang terdapat dalam kitab Al-Umm yang menjelaskan supaya tangan kita adalah tetap di atas peha ketika semasa dan selepas salam (membawa maksud tiada perbuatan menyapu muka):

عَنْ جَابِرِ بْنِ سَمْرَة قَالَ : كُنَّا مَعَ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاِذَا سَلمَ قَالَ اَحَدُنَا بِيَدِهِ عَنْ يَمِيْنِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ : السلام عليكم ، السلام عليكم . وَاَشَارَ بِيَدِهِ عَنْ يَمِيْنِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ . فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَا بَالَكُمْ تُومئونَ بِاَيْدِيَكُمْ كَاَنَّهَا اَذْنَابُ خَيْلٍ شُمْسٍ اَوْ لاَيَكْفِى اَوْ اِنَّمَا يَكْفِى اَحَدُكُمْ اَنْ يَضَعَ يَدهُ عَلَى فَخِذِهِ ثُمَّ يُسَلِّمُ عَنْ يَمِيْنِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ ، السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ الله

“Dari Jabir bin Samrah berkata: Semasa kami solat bersama Rasulullah SAW, maka ketika baginda memberi salam, berkata salah seorang dari kami dengan tangannya ke kanannya dan ke kirinya dan mengucapkan: As-salamu ‘alaikum, as-salamu ‘alaikum, dan mengisyaratkan dengan tangannya ke kanan dan ke kiri. Maka Nabi SAW bersabda:”Apa terjadi kepada kamu, mengisyaratkan dengan tangan kamu, tak ubah seperti ekor kuda yang mabuk, tidakkah memadai atau sesungguhnya memadai seseorang kamu meletakkan tangannya di atas pehanya semasa memberi salam ke kanannya dan ke kirinya seraya mengucapkan: As-salamu ‘alaikum wa-rahmatullah, as-salamu ‘alaikum wa-rahmatullah”.

 (Lihat: al-Umm. Jld. 1. Hlm. 122. Hadis ini diriwayatkan oleh Riwayat Muslim)

 

Adapun yang ditegah oleh Rasulullah SAW pada hadis di atas ialah menggerakkan tangan kanannya ke kanan ketika menoleh ke kanan dan menggerakkan tangan kirinya ke kiri ketika menoleh ke kiri. Hal ini setelah dilihat oleh baginda, kemudian baginda bertanya yang berupa larangan:

“Mengapa kamu menggerakkan tangan kamu seperti gerakan ekor kuda yang lari terbirit-birit dikejar binatang buas? Apabila seseorang antara kamu mengucapkan salam, hendaklah ia berpaling kepada temannya dan tidak perlu menggerakkan tangannya. Maka ketika mereka solat bersama Rasulullah, mereka tidak melakukannya lagi”. (Lihat: Sifat Solat Nabi. Hlm. 236)


Pada riwayat yang lain baginda bersabda yang bermaksud:

“Seseorang antara kamu cukup meletakkan tangannya di atas pahanya, kemudian ia mengucapkan salam dengan berpaling kepada saudaranya yang di sebelah kanan dan saudaranya yang di sebelah kiri”. (Hadis Riwayat Muslim, Abu ‘Awanah, Siraj, Ibnu Khuzaimah dan at-Thabrani)



Menggerakkan tangan ke kanan atau ke kiri sebagai tanda penutup atau selesainya solat telah ditegah oleh Rasulullah s.a.w. sendiri. Maka menyapu tengkuk, kepala dan kemudian muka di setiap kali selesai memberi salam adalah juga merupakan sebagai tanda, isyarat atau sebagai penutup solat. Melakukan pekerjaan tersebut adalah bid’ah kerana menyerupai perbuatan mereka (yang menggerakkan tangannya ke kanan dan ke kiri) yang ditegah oleh Rasulullah SAW, malah tidak ada hujjah yang sahih mengizinkan perbuatan tersebut. Perbuatan serupa itu adalah bertentangan dengan sunnah Rasulullah dan para sahabat. Maka ia hendaklah ditinggalkan. Jelas, ianya tiada ditunjukkan contohnya oleh Rasulullah.



Al-Mawarzi di dalam kitab al-Witr (hal. 236) berkata, “Ahmad bin Hanbal (imam Ahmad (w. 248H)) menyatakan, dari Abu Dawud, “Aku pernah mendengar bahawa Ahmad ditanya tentang seseorang mengusap mukanya dengan kedua tangan jika telah selesai solat witir, ia berkata, “Aku belum pernah mendengar sedikit pun berkenaan dengan hal itu, sedangkan aku menyaksikan bahawa Ahmad tidak melakukan hal itu (mengusap muka selepas solat).”

 
Terdapat riwayat dalam Sahih Bukhari dimana Abu Said al Khudri berkata(maksudnya): 

Aku melihat Rasulullah sujud di atas air dan tanah, sehingga dapat dilihat kesan debu dan tanah di dahinya”(Riwayat Bukhari).


Difahami dari hadis ini bahawa Nabi SAW tidak mengusap dahi atau muka baginda meskipun terdapat kesan tanah dan air. Dan jika terdapat baginda menyapu wajahnya selepas itu, maka diihtimalkan(diandaikan) oleh para ulama’ adalah kerana membuang kesan tanah dan air sahaja, bukan kerana itu perbuatan yang berkaitan solat. Bahkan itu merupakan perbuatan semulajadi kerana membersihkan diri dari kotoran.


Namun terdapat juga riwayat-riwayat yang dhaif yang menjadi pendapat imam-imam dalam mazhab Syafie, namun ianya telah ditolak oleh imam-imam lain dengan hadis-hadis di atas.


Jelaslah kepada kita bahawa Rasulullah SAW tidak menyapu muka atau dahi atau hidungnya selepas selesai memberi salam, maka tidak ada sebab untuk kita menambah-nambah perbuatan yang sama-sekali tidak dicontohkan oleh Nabi SAW. Saya menyarankan kita meninggalkan amalan bukan sunnah itu kerana berpegang kepada satu prinsip bahawa segala ibadah yang dilakukan hanya memperoleh pahala jika ianya bertepatan dengan sunnah, manakala yang sebaliknya adalah dianggap sebagai adat sahaja dan tidak membuahkan apa-apa pahala buat kita, malahan dianggap bid’ah oleh sesetengah ulama’.


WALLAHU ‘A’LAM

Monday, January 16, 2012

Fikah Luar Negara - Part 2

۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞


...menyambung dari petikan sebelum ini: FLN Part 1

Seperti yang dikelaskan sebelum ini, posting kali ini kita memasuki part kedua.

1. PART 1 = bab 1, bab 2 dan bab 3 - isu babi dan khuf.
2. PART 2 = bab 4, bab 5 dan bab 6 - berkisar tentang rukhsah Jamak & Qasar
3. PART 3 = bab 7, bab 8, dan bab 9 - melingkari urusan solat Jumaát
4. PART 4 = bab 10 hingga bab 16 - permasalah-permasalahan kecil mengenai pemakaian, bertindik bertatu, sebarkan Islam, makanan, Valentine dan New Year.


***************************************
BAB EMPAT: Rukhsah Jamak Solat


Selain daripada kerana MUSAFIR, rukhsah solat jamak boleh dilakukan dalam keadaan-keadaan berikut:

1. Jamak kerana HUJAN
2. Jamak kerana SAKIT
3. Jamak kerana HAJAT dan MASYAQQAH (kepayahan yang timbul)


Jamak Sebab Hujan

Syarat-syaratnya:

1. Dibenarkan kepada jemaah yang solat di masjid sahaja.
2. Waktu yang dibenarkan ialah waktu jamak taqdim; Asar & Zohor dilakukan pada waktu Zohor dan Isyak & Maghrib dilakukan pada waktu Maghrib sahaja.
3. Hujan yang turun di waktu Zohor atau Maghrib masih berlarutan hingga jamaáh selesai menunaikan fardhu Zohor atau Maghrib tersebut.
4. Kuantiti hujan yang lebat; membasahkan baju.
5. Dibenarkan kepada jamaáh yang tinggal berjauhan dari masjid (pendapat ulama' Syafiíyyah; namun ia disanggah oleh Imam Nawawi*)

* Imam Nawawi menolak hujah tersebut (point ke-5) melalui dalil daripada Ibnu Abbas yang direkodkan al-Jamaah (semua ulama'hadits terkemuka) seperti dalam hadits Muslim & Tirmidzi kecuali Bukhari & Ibnu Majah.


Jamak Sebab Sakit

Imam Ahmad - HARUS jamak kerana sakit tenat & berat.
Syarat: sakit itu lebih payah bagi Muslim untuk menunaikan solat berbanding hujan.
Rasionalnya: supaya pesakit tidak dibebani dengan menantikan waktu solat & dapat berehat untuk kesembuhan penyakit.

Kitab mazhab Imam Hanbali (al-Raudhul Murbi') - HARUS jamak bagi pesakit kerana khuatir akan menyusahkan jika tidak menjamakkan solat. Kitab ini berdalilkan hadits Muslim daripada Ibnu Abbas.

Pendapat di atas disokong oleh sesetengah ulama' Mazhab Syafi'e (Muzani, Imam Nawawi, Qadhi Hussin, Mutawaali, Rawayani, Khattabi dan lain-lain)


Jamak Sebab Hajat

Contohnya:
1. Doktor yang menjalankan pembedahan berjam-jam
2. Terperangkap dalam kesesakkan lalulintas; hingga tidak memungkinkan untuk keluar daripadanya.
3. Pelajar luar negara yang menghadapi peperiksaan atau kuliah yang memakan masa yang lama pada waktu yang singkat (Zohor & Asar di musim sejuk, kerana masanya pendek)
4. Saintis yang perlu berada di makmal seharian suntuk
5. Tahanan lokap; kerana tidak dapat mengagak waktu solat dengan tepat
6. Pegawai keselamatan yang bertugas dalam kondisi kritikal

Jamak kerana hajat/masyaqqah tidak dibenarkan secara mutlak, tetapi perlu penuhi syarat-syarat berikut:

1. Tidak boleh dijadikan adat/kebiasaan; tanpa keadaan mendesak.
2. Hajat yang benar-benar mendesak; jika ditinggalkan bakal menghilangkan maslahat atau memberi mudhorat.
3. Ia tidak dijadikan bahan untuk permain-mainkan agama.

Rukhsah menjamakkan solat ini disokong oleh beberapa ulama' berikut:

1. Imam Nawawi
2. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah
3. Syeikh Abdul Wahab Sya'rani
4. Syeikh Athiyah Saqr
5. Ibnu Hajar dalam Fathul Bari ada menyebut beberapa ulama' yang mengHARUSkan jamak kerana hajat antaranya: Ibnu Sirin, Rabi'ah, Ibnul Munzir, al-Qaffal al-Kabir.


*********************************
BAB LIMA: Fikah Solat Qasar

Dalil-dalil yang mengharuskan:

1. Surah An-Nisa' : 101

2. Ahaditsun Nabawi:
....a. daripada Aisyah riwayat Bukhari & Muslim.
....b. riwayat Imam Ahmad.
....c. daripada Aisyah riwayat ad-Daaruqutni, as-San'ani dan Bayhaqi
....d. daripada Ibnu Umar riwayat at-Tabrani dalam al-Jami' as-Soghir.

3. Ijma' : Ibnu Mundhir di dalam Ensiklopedia Ijma'


Cara Melakukan Qasar:
- hanya solat 4 rakaát (zohor, asar, isyak) sahaja yang boleh dipendekkan.


Hukum Qasar:

a. Majoriti ulama': qasar dikatakan sebagai rukhsah; HARUS dilakukan dan HARUS ditinggalkan. Namun melakukannya adalah lebih baik dan lebih mendekati sunnah rasul s.a.w

b. Abu Hanifah, Zahiriyah, Syiáh Imamiyah - qasar adalah WAJIB kecuali di Masjidil Haram & Masjid Nabawi.


Fikah Luar Negara: PART 1, PART 3, PART 4.

Saturday, January 14, 2012

Fikah Luar Negara - Part 1

۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Assalamuálaikum w.t.b..


Lama sudah nggak dibersihin belog kerubuk buruk ini, berhabuk! Ampun, ampun. Ok, kali ni nak kupas sedikit tentang Fikih (saya lebih senang menggunakan term "Fiqh") Luar Negara.

Fiqh Luar Negara karya Dr. Maszlee Malik dan Ustazah Hamidah Mat terbitan PTS Millenia Sdn. Bhd. ini mengupas 16 topik-topik kecil dan dimulai dengan Prinsip-prinsip Fikah Luar Negara supaya bacaan pembaca tidak memesong dari hala tuju sebenar seperti apa maksud penulis.

Saya ingin berkongsi secara ringkas dan mengambil qawl (kata) jumhur fuqaha'/ulama' bagi setiap permasalahan. Ya, ia untuk tidak memanjangkan sesi terang-simpul yang saya cuba utarakan di sini. Jika ingin maklumat secara lanjut, kalian boleh dapatkan buku tersebut sendiri. Isi-isi di sini diusahakan adalah untuk memudahkan rujukan secara ringkas.

Saya bahagikan 16 topik-topik tersebut kepada 4 bahagian; yakni saya akan pecahkan posting Fiqh Luar Negara ini kepada 3 pecahan (parts):

1. PART 1 = bab 1, bab 2 dan bab 3 - isu babi dan khuf.
2. PART 2 = bab 4, bab 5 dan bab 6 - berkisar tentang rukhsah Jamak & Qasar
3. PART 3 = bab 7, bab 8, dan bab 9 - melingkari urusan solat Jumaát
4. PART 4 = bab 10 hingga bab 16 - permasalah-permasalahan kecil mengenai pemakaian, bertindik bertatu, sebarkan Islam, makanan, Valentine dan New Year.


First thing first is, Prinsip-prinsip Fikah Luar Negara:


1. terimalah bahawa "Prinsip perubahan hukum mengikut perubahan waktu dan tempat"
2. tidak terikat dengan satu mazhab; kerana ia mensukarkan pada sesuatu situasi
3. rukhsah; ia harus diterima tanpa menjejaskan hukum asal semasa situasi biasa.
4. darurat; beserta ukur timbang-tara yang munasabah, darurat dibenarkan asal ia untuk memenuhi keperluan dan hajat, sekadar perlu pada masa-masa kecemasan.
5. tidak mengikut hawa nafsu; bukan setiap masa hukum-hakam agama perlu mengikut kehendak kita tetapi kita perlu mengikut tuntutan hukum-hakam dengan berpaksikan taqwa & iman.


*******************************************************


BAB SATU: Kepercayaan Babi yang Menyulitkan Kehidupan Muslim.


pendapat Jumhur Fuqaha':-

DAGING - HARAM dimakan
(seperti yang dikatakan oleh Ibn Mundhir dalam Kitab al-Ijma')

NAJIS - najis MUTAWASSITAH; jika tersentuh hanya perlu disucikan dengan sekali basuhan seperti mensucikan darah, nanah, tahi, kencing etc.
(Jumhur ulama'bersetuju termasuk Imam Nawawi..kecuali Imam Syafié yang mengatakan ia najis MUGHALLAZAH)

Menggunakan ANGGOTA lain - Jumhur ulama' melarang menggunakan walaupun ia najis mutawassitah. Tetapi sebahagian ulama' mengharuskan ia digunakan selepas melalui proses DIBAGH (samak) atau IBID.
(yang mengharuskan: sebilangan ulama' Malikiyyah, Abu Daud, Zahiri, Syawkani)



***************************************

BAB DUA: Menyapu Khuf



Jumhur berpendapat HARUS berdalilkan dalil yang mutawatir maknawi:-

1. kata-kata Nabi Muhammad s.a.w yang dilaporkan oleh Jarir Bin Abdullah.
2. dari Mughirah Bin Syu'bah direkodkan dalam sahih Bukhari & Muslim.
3. direkodkan Muslim, Syurain Bin Hani pernah bertanya kepada Aisyah.


Syarat Menyapu Khuf:

1. Khuf dipakai setelah diambil wudhuk yang sempurna.
2. Khuf perlu menutupi keseluruhan anggota wudhuk kaki.
3. Khuf perlu diperbuat dari bahan kalis air (syarat dari Mazhab Syafié).
4. Khuf diperbuat dari bahan (kulit) yang suci.


Tempoh Menyapu Khuf*:

1. 3 hari 3 malam - bagi yang bermusafir
2. 1 hari 1 malam - bagi yang bermukim


Cara Menyapu Khuf:

menyapu air ke atas lapisan atas khuf (dasar atas kaki). Walau bagaimanapun, mazhab Syafié menSUNATkan menyapu di bawah khuf juga.


Perkara yang Membatalkan Menyapu Khuf:

1. Pemakai membuka khuf.
2. Tamat tempoh penyapuan*.
3. Hadas besar.

rujukan ini mungkin boleh membantu: KHUF


*******************************************

BAB TIGA: Menyapu Stokin dan Kasut


Para fuqaha'sepakat mengHARUSkan muslim menyapu stokin yang diperbuat daripada kulit dan menutupi buku lali. Namun perselisihan berlaku pada stokin biasa (diperbuat daripada bulu atau kapas):


Golongan Pertama:
(Abu Hanifah, segelintir Hanafiyyah, golongan Mazhab Maliki dan majoriti Mazhab Syafié)

Tidak membenarkan khuf berlaku pada pemakaian stokin biasa. Alasannya:
1. Stokin tidak diperbuat daripada kulit.
2. Tidak seperti khuf; tahan di bawa musafir dan kalis air.


Ia ditolak oleh Golongan Kedua, yang terbahagi kepada dua kelompok:

a. (sebahagian daripada mereka yang bermazhab Syafié) dengan beberapa syarat:

--- 1. stokin perlu tebal dan tahan lasak untuk perjalanan jauh (ada yang meletakkan jarak hingga 3 batu, jika terkoyak sebelum sampai 3 batu maka ia tidak boleh disapu)
--- 2. perlu menutupi buku lali

b. (Hanabilah; mazhab Hanbali, dan kebanyakkan Hanafiyyah).
mengHARUSkan khuf berlaku ke atas stokin. Pendapat ini dipopularkan oleh Ibnu Taimiyyah berdasarkan dalil:

i. hadits at-Tirmidzi (hadits hasan sohih), Ibnu Majah, Abu Daud dan Ahmad.
ii. kata-kata Bilal direkodkan oleh Ahmad, at-Tirmidzi (hadits hasan sohih), at-Tabrani dan Baihaqi (hadits dhaif).
iii. 9 sahabat (Ali, Ammar Bin Yasir, Ibnu Masúd, Anas, Ibnu Umar, Barra, Bilal, Ibni Abi Aufa dan Sahl Bin Saad) dan 6 tabiín (Ata', Hassan Basri, Said Bin Musayyab, Ibnu Jubair, Nakha'i dan Thawri) mengHARUSkan menyapu stokin.

footnote:

# Imam Abu Hanifah mengHARUSkan perbuatan ini diakhir hayatnya.
# Dr. Wahbah Zuhayli (Ulama' Syafié) mengHARUSkan menyapu stokin.


... bersambung ke PART 2

School of Life

"The difference between school and life are in SCHOOL, you were taught a lesson, then given a test to test your IQ, but in LIFE you are given the test first that teaches you a lesson. Test in life is one of the measure's faith or belief in God for all people"