الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ
أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ
وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا
مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا
مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ
الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ
وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ
ٱلرَّحِيمِ
Sidang
Jumaat yang dirahmati Allah.
Khatib
pada hari ini bersama seluruh umat Islam menyatakan rasa dukacita yang amat
sangat ke atas saudara-saudara se iman yang dizalimi dan dibunuh dengan
sewenang-wenangnya di bumi anbiya’ – bumi Mesir. Saat ini ketika teks khutbah
ini dinukil, sudah lebih dari 2,200 rakyat Mesir termasuk wanita dan
kanak-kanak yang sudah terkorban syahid. Bilangan yang tercedera sudah
menjangkau lebih dari 10,000 orang. Hari ini dan saat khutbah ini disampaikan
pada hari Jumaat 9 Syawal 1434H, berapakah pula bilangan umat Islam yang
terkorban syahid akibat perbuatan kelompok zalim dan tidak berperikemanusiaan.
Apa
yang amat menyedihkan ialah umat Islam di Mesir dibunuh tanpa belas kasihan
oleh tentera Mesir sendiri. Apakah jenayah mereka sehingga diperlakukan dengan
begitu biadap. Bukankah tugas tentera ialah menjaga keselamatan negara dari
pencerobohan musuh dan anasir luar. Dalam situasi Mesir sudah tentulah musuh
utama yang paling hampir menjadi ancaman kepada keselamatannya ialah Israel.
Namun apa yang berlaku sejak tarikh Presiden Morsi digulingkan, tentera
nampaknya lebih berminat untuk menjamin keselamatan Israel dengan membunuh
rakyatnya sendiri.
Kenapa
General Abdul Fattah As sisi sanggup mengerah tentera untuk bertindak bukan
sahaja di luar batas syara’ (Islam) bahkan melampaui batas kemanusiaan, apapun
prinsip dan dasarnya. Tindakan kebinatangan ini meletakkan kelompok yang
menyokong kudeta ke atas Presiden Morsi dan kerajaan beliau yang sah berada semakin
jauh terperosok ke dalam kesalahan jenayah yang dilakukan.
Sidang
Jumaat yang dirahmati Allah.
Allah
SWT mengingatkan kita di dalam al Quran tentang kesah Musa a.s. yang berhadapan
dengan kekuasaan Firaun. Firaun telah melakukan kezaliman yang tidak terperi di
bumi Mesir.
Firman
Allah SWT
Dan (kenangkanlah)
ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa
kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki
kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang
demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.
Firaun telah mengerahkan
pasukan perisik dan bala tenteranya untuk memburu anak-anak Bani Israel dan
membunuh mereka. Firaun berusaha untuk menghapuskan keturunan Bani Israel yang
dibimbangi akan melenyapkan kekuasaan di atas muka bumi.
Namun Allah SWT maha berkuasa
untuk menghapuskan kezaliman Firaun dengan cara-cara yang tidak disangka sama
sekali oleh manusia.
"Dan demi sesungguhnya! Kami telahpun mengurniakan kepadamu
berbagai nikmat pada satu masa yang lain sebelum ini
"Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu
kepadanya:
"Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah
peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya
dipungut oleh musuhKu dan musuhnya; dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu
perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya engkau dibela dan dipelihara
dengan pengawasanKu.
Sidang
Jumaat yang dirahmati Allah.
Allah
yang akan memelihara agama Nya. Perhatikan bagaimana Musa a.s. yang diburu oleh
Firaun langsung dihantar oleh Allah SWT kepada Firaun itu sendiri di dalam
bakul bayi yang dihanyutkan ke hilir Sungai Nil. Pastinya Firaun yang berhasrat
untuk menghapuskan kaum lelaki Bani Israel tidak akan teragak-agak untuk
menghapuskan bayi lelaki yang ditemuinya. Tetapi sebaliknya bayi lelaki yang
tidak berdaya itu di selamatkan oleh Allah dengan pandangan kasih seorang
wanita. Isteri Firaun yang melihat bayi itu lantas jatuh hati kepadanya dan
melindungi Musa a.s. dari disakiti oleh Firaun. Cuba renungkan bagaimana
kelembutan seorang wanita melindungi Musa a.s. dari seorang Firaun yang amat
keras hatinya yang tidak ada belas kasihan sedikitpun tersisa di hati.
Sidang
Jumaat yang dirahmati Allah,
Hari
ini kita berkenalan dengan seorang Firaun di zaman ini dan bala tenteranya yang
tidak ada sedikitpun rasa bersalah ketika mereka menala senjata dan membidik
tepat untuk membunuh lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak bersenjata.
Firaun yang dihantar kepada kita pada hari ini melampaui kezaliman yang
dipamerkan oleh Firaun klasik di zaman Musa a.s. Apakah mereka menyangka
perbuatan mereka tidak diperhatikan oleh Allah. Allah yang sama yang
menyelamatkan Musa a.s dan menghantar baginda kepada Firaun adalah Allah yang
sama yang sedang menyaksikan dan memantau apa yang berlaku di medan Rabaah dan
di seluruh bumi Mesir. Allah yang sama yang mengazab Firaun adalah Allah yang
sedang memerhatikan setiap tindak tanduk As Sissi dan bala tenteranya. Tidak
ada yang terselindung dari pengetahuan Allah. Semuanya dirakamkan dengan penuh
sehingga tidak ada ruang untuk berlepas diri dari setiap kezaliman yang mereka
timpakan ke atas rakyat Mesir. Mereka akan diadili dengan sangat teliti dan
keras.
Allah
SWT berfirman.
Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang
handal kukuh? (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di
negeri (masing-masing). Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan
bencana di negeri-negeri itu. Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas
mereka berbagai paluan azab; Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas,
(terutama balasan akhirat).
Allah
SWT kemudian membinasakan Firaun dan segala alat-alat kekuasaan dan
kebesarannya.
Dan (kenangkanlah)
ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari
angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun
bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Rakyat
Mesir yang sedang dizalimi berada di dalam kebenaran. Mereka akan dibela oleh
Allah dan dimuliakan atas pengorbanan mereka. Sebahagian besar dari mereka
insyaAllah dikurniakan syahid yang didambakan oleh semua manusia yang beriman
dengan Allah, RasulNya dan hari kemudian.
Persoalan
kini ialah bagaimana dengan sikap dan tindakan kita terhadap saudara kita di
Mesir. Apakah pantas untuk kita hanya berdiam diri. Apakah kita hanya memerhati
tanpa iman kita tidak terusik sedikitpun. Di manakah hendak kita letak hadis
Nabi SAW.
“Umat
Islam ibarat satu tubuh, jika sebahagian tubuh merasa sakit maka seluruh tubuh
akan merasakan sakitnya dan tidak bolih tidur malam”
“Barangsiapa
yang tidak mengambil berat tentang urusan umat ini maka ia bukan dari kalangan
mereka”
Sesungguhnya
umat Islam pada hari ini sedang diuji oleh Allah SWT. Allah paparkan ulangan
sejarah silam di depan mata untuk menilai mirip siapakah sikap kita? Apakah
kita akan bersama dengan pendukong kebenaran dan menyatakan al Hak sebagai al
Hak meskipun seluruh dunia berusaha untuk menghancurkannya. Musuh-musuh Islam
pada hari ini bersatu hati untuk mempersempit perlaksanaan Islam dalam
kehidupan dan sistem pemerintahan. Israel, Amerika Syarikat, Arab Saudi,
negara-negara Teluk dan golongan secular-liberal dari sisa-sisa pemerintahan
Mubarak berusaha untuk menamatkan pemerintahan soleh yang berdiri di atas
akhlak dan prinsip Islam. Mereka tidak mahu Mesir bahkan mana-mana bumi Allah
ini di tadbir oleh Islam dan pendukong-pendukongnya yang ikhlas. Namun Allah
SWT akan tetap menyempurnakan agamanya.
Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama
Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya,
sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).
Maka kita menyeru mereka yang
memegang tampuk-tampuk kekuasaan di persada Islam ambil lah pendirian yang
menepati ruh al Quran dan jalan kemuliaan yang dilalui oleh para Rasul dan
mereka yang mengikuti jalan-jalan itu. Bersuaralah supaya kezaliman dan
kebejatan ini dihentikan. Sanggupkah kalian melihat darah saudara-saudara kamu terus
dialirkan dengan begitu murah. Ambil lah apa juga langkah-langkah diplomatik,
ekonomi dan gunalah semua saluran di peringkat antarabangsa untuk menghentikan
kebiadapan yang menjolok mata ini. Mereka itu adalah saudara-saudara anda dan
saudara kita. Sekurang-kurangnya beberapa negara bukan Islam telah bersuara dan
mengutuk perbuatan zalim yang dilakukan oleh kerajaan paksaan Mesir. Mereka
didorong oleh rasa kemanusiaan dan tidak sanggup menyaksikan penderitaan yangh
ditanggung oleh rakyat Mesir. Kita bukan sahaja punya rasa kemanusiaan bahkan
kita dipertautkan oleh iman dan takwa. Tidak kah ini hubungan yang lebih kuat
bahkan hubungan yang berkekalan dari dunia sampai akhirat, yang mampu untuk
bingkas bangun dan menyelamatkan saudara-saudara kita?
Ingatlah kita mencari redha
Allah. Kesemua kekuasaan yang ada di atas muka bumi ini meskipun mereka punya
kekayaan yang melimpah ruah seperti miripnya Firaun di zaman lalu, mereka bukan
tempat pergantungan. Tiba masanya Allah akan menghapuskan kekuasaan mereka lalu
mereka tidak punya apa-apa. Bahkan mereka tidak mampu mengangkat satu jari pun
walaupun sekadar untuk menjentik apabila datang saat itu.
•
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ
مَن تَشَاء وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاء وَتُعِزُّ مَن تَشَاء وَتُذِلُّ مَن
تَشَاء بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ {26}
Katakanlah
(wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang
memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah
yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah
juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina
sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala
kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Ali Imran: 26.
بَارَكَ اللهُ لِيْ
وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ
وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ
العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ
وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ
المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ












